Menjawab Hujah Golongan Anti Hijab!

Di sini kami senaraikan 11 jawapan balas bagi hujah golongan anti hijab. Kini mereka semakin berani mempromosi pemikiran mereka untuk membebaskan wanita dari syariat hijab.

Pelbagai kenyataan yang dimainkan, seperti hijab adalah pakaian budaya arab semata-mata, tidak terdapat ayat menyuruh memakai hijab di dalam al Quran, dan hujah yang senada denganya.

Boleh baca jawapan balas di setiap gambar di bawah:


Syubhat 1: Tudung tidak wajib kerana ia adalah pakaian budaya orang Arab. Ulama Maqasid Syariah sendiri mengatakan ia adalah pakaian budaya berdasarkan surah al Ahzab ayat 59.


“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak di ganggu.” (Surah al Ahzab: 59)


a) Kebanyakkan mereka hanya mengulas ayat ini sahaja tanpa membawa perbincangan di dalam surah an Nur ayat 31 yang jelas menyuruh wanita memakai khimar. Sedangkan untuk membincangkan nas, perlulah dibahasakan secara keseluruhan. Di bawa di sini tentang ayat khimar : 


“Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya..” (Surah an Nur: 31)


b) Mereka juga menyeleweng maksud yang dibawa oleh Ibnu Asyur di dalam kitabnya Maqasid asy Syariyyah al Islamiyyah, dengan mengatakan Ibnu Asyur menyatakan bahawa tudung itu adalah pakaian tradisi orang Arab dan bukan syariat Allah. kata Ibn Asyur:


:وفى القرءان
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
فهذا شرع روعيت فيه عادة العرب , فالأقوام الذين لا يتخذون الجلابيب لا ينالهم من هذا التشريع نصيب


Maksudnya: “Ini peraturan yang meraikan kebiasaan orang Arab. Maka kaum yang tidak memakai jilbab, maka tidak mempunyai nasib (iaitu tidak disabit) dengan pensyariatan tersebut.”


Perlu diberi perhatian di sini, jilbab dan khimar adalah dua bentuk pemakaian yang berbeza. Maksud Ibnu Asyur adalah membahaskan tentang pemakaian jilbab dan bukan khimar (tudung) seperti disebut di dalam surah an Nur ayat ke 31. Ulama tafsir membahas mengenai ‘Jilbab’ ini antaranya Imam asy Syaukani di dalam tafsir Fathul Qadir menyatakan Jilbab adalah pakaian pakaian luar yang lebih besar dari tudung (yang melapisi tudung).[1]


Ibnu Kathir di dalam tafsirnya mengatakan Jilbab adalah pakaian kain/selendang lebar bagi melapisi tudung dan pakaian mereka.[2]


Adapun ulama lain seperti Al Wahidi menyatakan Jilbab adalah kain yang menutup wajah dan kepala mereka kecuali sebelah matanya sahaja. Manakala al Hasan berkata “Menutup separuh wajahnya” dan Qatadah mengatakan “ditutupkan di atas dahi dan diikatkan, kemudian menutupi bahagian hidung”.[3] Ibnu Kathir mengatakan pakaian luar ini adalah bertujuan agar mereka mudah untuk dikenali dari para wanita jahiliyyah dan hamba-hamba perempuan.[4]


Dengan kata lain apa yang dibincangkan oleh Ibnu Asyur tidak menyentuh tentang khimar seperti yang disebut dalam surah an Nur ayat 31. Tetapi ia hanya membahaskan tentang pemakaian jilbab iaitu pakaian luar yang melapisi tudung yang menjadi tradisi pakaian orang arab dan seperti pakaian Chadur di Iran.


c) Tidak ada satupun ulama fiqh yang khilaf di dalam isu pemakaian tudung (khimar) dan menutup aurat bagi wanita muslimah yang telah baligh.


Notakaki:
[1] Lihat Imam Asy Syaukani, (2011). Tafsir Fathul Qadir, tahqiq Sayyid Ibrahim, Putaka Azzam, Jakarta, jilid 9, hlm 173-174
[2] Lihat Ibnu Kathir, (2013). Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Putaka Ibnu Katsir, Jakarta, Jilid 7, hlm 372
[3] Lihat Imam Asy Syaukani, (2011). Tafsir Fathul Qadir, tahqiq Sayyid Ibrahim, Putaka Azzam, Jakarta, jilid 9, hlm 173-174
[4] Lihat Ibnu Kathir, (2013). Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Putaka Ibnu Katsir, Jakarta, Jilid 7, hlm 372

Syubhat 2: Pemakaian tudung adalah penindasan kepada wanita dan wanita tidak diberi hak untuk wanita memilih. 

a) Sekiranya ia dikatakan menindas, harus mengapa perlu dipersoalkan kepada penganut agama Islam sahaja? Malah jika dibincangkan di dalam agama lain juga memiliki suruhan supaya wanita memakai hijab dan menutup kepala seperti dalam Yahudi, Kristian, Hindu, Sikh dan agama-agama lain. Rujuk sini: https://askislam.me/ms/2018/05/25/al-quran-bukanlah-kitab-pertama-memperkenalkan-tudung/

b) Sekiranya disangka perkara itu menindas dan membebankan, bagaimana pula dengan kod etika pemakaian di pejabat dan badan beruniform seperti polis, askar dan lain-lain di atas mematuhi kod pemakaian yang digubal oleh manusia, harus mengapa tidak mempersoalkan etika pemakaian itu di atas alasan membebankan dan menindas mereka? Mengapa tidak memperjuangkan hak kebebasan supaya anggota beruniform boleh memakai baju singlet sahaja ketika bertugas?

c) Oleh kerana seorang itu memilih untuk menjadi seorang muslim maka mereka perlu patuh kepada arahan dan anjuran Allah. Malah mereka yang melakukannya kerana memahami itu adalah tuntutan Allah ke atas mereka.

Syubhat 3: Pemakaian tudung di Malaysia disebabkan kehendak “social construct”

Salah satu hujah Maryam Lee di dalam bukunya mendakwa pemakaian tudung di Malaysia ini disebabkan social construct. Di dalam Islam meraikan social construct selagimana ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Sebab itu di dalam ilmu Islam terdapat ‘fiqh waqi’ (feqah realiti) dan di dalam ilmu usul fiqh juga terdapat kaedah yang dinamakan ‘Urf’ (memahami situasi setempat) bagi merai nilai social construct sesebuah masyarakat. Situasi ini dapat dirai selagimana tidak melanggar prinsip Islam. 

Jika semua perkara mahu diukur melalui social construct, ditakdirkan pada suatu hari nanti masyarakat mula menganggap wanita adalah masyarakat kelas kedua, maka adakah muslim juga perlu ikut terima? Sedangkan prinsip Islam mengangkat nilai dan kedudukan wanita serta tidak menganggap wanita sebagai kelas kedua.

Jika social construct jadi kayu ukur, pada suatu hari nanti jika semua orang tidak solat maka adakah solat itu akan bertukar menjadi tidak wajib? Jika suatu hari nanti sumbang mahram diterima oleh masyarakat adakah ia akan turut bertukar menjadi halal? 

Sebab itu Islam dan ajarannya berbentuk sebagai sebuah prinsip. Ia bukan berubah mengikut kehendak social construct masyarakat. Isu tudung ini seperti di dalam surah an Nur ayat 31, ia adalah prinsip dan tidak akan berubah hukum mengikut social construct.

Syubhat 4: Allah tidak menghukum disebabkan tidak memakai tudung, kerana pakaian terbaik adalah Khairultaqwa.

Memetik perkataan yang digunapakai oleh Maryam Lee di dalam bukunya “the best dress is the dress of khairul taqwa. That the dress of God consciousness.” Baginya, pakaian taqwa itu adalah utama dan bukan tudung. 

Taqwa bermaksud melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Bagaimana kita ingin mengatakan pakaian taqwa adalah terbaik sedangkan suruhan Allah menyuruh memakai tudung di dalam surah an-Nur 31 itu tidak di ‘taqwa’kan dan tidak mengikutinya?

Bersikap mendolak dalih perintah Allah dalam isu tudung tidak memenuhi maksud taqwa.

Syubhat 5: Tudung tidak wajib, cukup dengan berpakaian yang terhormat. 

Hujah ini juga sering kali diguna pakai terutama golongan Islam liberal dari Indonesia. Sedangkan hujah mereka dengan mengatakan cukup dengan pakaian yang terhormat merupakan kenyataan yang tidak berprinsip. 

Apa kayu ukur kepada pakaian terhormat? Jika di Papua New Guinea, pakaian terhormat mereka adalah dengan bercawat. Jika di kawasan selatan Afrika, terdapat kelompok Bushmen yang tidak berbaju dan hanya cukup menuntup kemaluan sahaja. Itu pakaian terhormat bagi mereka. Hujah ini tidak memiliki standard yang kukuh dan rapuh.

Syubhat 6: Kassim Ahmad mengatakan tudung adalah pengaruh Taurat dan orang Islam meniru mereka. 

Kassim Ahmad menyatakan tudung bukan amalan Islam tetapi amalan kitab Taurat, di dalam blognya terdapat artikel “Tudung: Penemuan Baru”. Berdasarkan petikan di dalam blog beliau yang disemak semula pada 25 Mac 2017, beliau menulis:

“Tudung ini berasal dari kitab Taurat, Perjanjian Baru, Bab Korintus I, 11: 5-9 yang berbunyi, “Tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa dan bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung menghina kepala-nya sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya. Sebab jika perempuan tidak mahu menudungi kepalanya maka haruslah ia juga menggunting rambutnya. Tetapi jika bagi perempuan adalah penghinaan bahawa rambutnya digunting atau dicukur, maka haruslah ia menudungi kepalanya. Sebab lelaki tidak perlu menudungi kepalanya; ia menyinarkan gambaran dan kemuliaan Allah. Tetapi perempuan menyinarkan kemuliaan lelaki. Sebab lelaki tidak berasal daripada perempuan, tetapi perempuan berasal daripada lelaki. Dan lelaki tidak diciptakan kerana perempuan, tetapi perempuan diciptakan kerana lelaki.”

Kata beliau lagi: “Tidak banyak orang Islam mengetahui bahawa tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita mereka sekarang berasal dari kitab Taurat. Tiga puluh lima tahun dulu perempuan Melayu memakai selendang ke majlis-majlis. Isteri sarjana besar agama Nusantara, Hamka, tidak memakai tudung. Dalam zaman sekarang, pemakaian tudung timbul balik selepas revolusi Islam Iran pada tahu 1979 yang dicetuskan oleh Khomeini.”

“Yang menghairankan kita adat ini berlaku di seluruh dunia Islam. Mengapakah cerdik pandai Islam tidak menegur adat jahat ini? Kita patut tahu, sesuatu perkara yang tidak disuruh oleh Tuhan, jika dilakukan, boleh membawa mudarat. Kepada wanita yang ditudung akan berbau busuk dan membawa mudarat kepada rambut wanita.”- Kassim Ahmad

Ada beberapa persoalan yang akan dibahaskan:

a) Kassim Ahmad perlu mempelajari terlebih dahulu istilah nama buku-buku di dalam Bible dan juga pembahagiannya. Bukan kesemuanya itu adalah taurat. Dan surat 1 Korintius yang beliau rujuk itu bukanlah hukum Taurat tetapi ia adalah surat-surat dalam Perjanjian Baru yang ditulis oleh Saint Paul.

b) Sekiranya ia adalah amalan di dalam kitab terdahulu, apa masalahnya? Bukankah orang Islam itu beriman bahawa rasul-rasul yang terdahulu membawa ajaran Islam dan juga hukum Allah? Sekiranya begitu, adakah beliau juga berpandangan hukum haram memakan babi juga dipengaruhi dalam kitab Taurat (disebut dalam Imamat 11: 7-8), maka adakah orang Islam pada hari ini perlu memakan babi? Jika itulah logik Kassim Ahmad maka logik babi halal juga terpakai kepada beliau. 

Ini antara masalah asas yang tidak difahami oleh Kassim Ahmad bahawa Islam ini bukanlah agama baru yang bermula pada zaman nabi Muhammad. Nabi Muhammad SAW adalah penutup segala nabi dan kesemua nabi-nabi sebelum baginda adalah muslim. Dan hukum-hakam yang mereka bawa juga yang memiliki persamaan dengan al Quran merupakan hukum Islam juga. Sebab itu di dalam rukun iman, umat Islam beriman kepada rasul-rasul dan kitab-kitab terdahulu.

Sekiranya di kalangan mereka (Yahudi dan Kristian) mengikut ajaran kitab terdahulu maka ia tidak bersalahan dengan hukum Allah itu sendiri. Kecualilah Kassim Ahmad dapat mengemukakan ayat di dalam al Quran yang dapat memansuhkan hukum pemakaian tudung di dalam al Quran sendiri, dan sudah tentu ia tidak akan dijumpai kerana Allah telah menetapkan bahawa wanita itu perlu berhijab.

Syubhat 7: Isteri Hamka juga tidak memakai hijab, sedangkan dia adalah ulama tersohor.

berhujah dengan hujah sekeping gambar isteri Buya HAMKA yang tidak memakai tudung dengan alasan ia tidak wajib. Dikatakan HAMKA sebagai seorang ulama hebat di nusantara pun tidak kisah apabila isterinya tidak memakai tudung. Adakah benar dakwaan sebegitu?

Perlu diketahui bahawa, Hamka salah seorang yang berpandangan bahawa hukum tudung bagi perempuan yang sudah menopause tidak sama dengan perempuan muda. Beliau mengambil firman Allah yang bermaksud:

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (jilbab) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Bijaksana” (An-Nur 60).

Ketika menafsir ayat ini HAMKA mengatakan: “Soal pakaian teratur sebagai keluar rumah, atau mantel (baju luar) sebagai yang terpakai di Eropah, atau tanah arab, selendang penutup kepada atau baju-baju lain tidak perlu memberati kepada wanita apabila dia telah memasuki gerbang tua.”[1] Ia menganggap pakaian yang sudah tidak diwajibkan itu termasuk khimar dan jilbab. Ini hanya bagi perempuan yang berusia dan sudah tidak berkeinginan kahwin, akan tetapi itu tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati. Berkelakuan sopan itu lebih utama.

Pandangan yang dibawa oleh HAMKA merupakan pandangan minoriti ulama Islam dalam hal ini. Ia pendapat Ibn Umar ra, Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam. Kerana majoriti ulama Islam berpandangan tudung kepala (khimar) tetap terikat kepada wanita yang sudah menopause. Yang dimaksudkan surah an Nur ayat 60 itu adalah menganggalkan ‘jilbab’ sahaja dan tidak termasuk khimar yakni pakaian luarnya seperti dibahaskan di bahagian awal.[2] 

Berkait pula dengan gambar isteri Buya HAMKA yang tidak memakai hijab secara sempurna. Perlu kita tahu, gambar tersebut diambil ketika lewat usianya dan sekira benarlah HAMKA tidak kisah isterinya tidak berhijab, kenapa tidak ada satupun gambar isterinya ketika muda tidak memakai hijab? Sedangkan yang ada adalah beliau berhijab secara sempurna ketika pada usia mudanya.

Sekira dikatakan Hamka tidak cakna kepada isu hijab maka ia suatu kesilapan besar sedangkan HAMKA mengulas panjang lebar sejarah hijab di Indonesia di dalam Tafsir al Azhar. Bagi mereka yang ada Tafsir Al Azhar boleh semak dalam Juz 22, Pustaka Panjimas, Jakarta, 2006, hal. 97-98.

d) Sejak bila pula agama dan hukum hakam terletak di atas ‘perbuatan individu’? Sebenarnya isu ini tidak patut menjadi hujah kepada boleh atau tidak boleh kepada memakai hijab. Perbuatan individu itu tidak boleh dijadikan hujah kepada agama. Sekiranya agama itu diukur dengan perbuatan seseorang yang dianggap alim tanpa merujuk kepada al Quran dan Sunnah, maka huru-haralah agama ini. Tidak ada beza dengan perbuatan orang Yahudi yang mengikuti apa yang dibuat oleh Rabbi mereka walhal perkara itu bercanggah dengan Taurat. Sekiranya seorang muslim melakukan kesilapan ia tidak sama sekali melambangkan agama menyuruhnya melakukan perbuatan tersebut. Saya hairan, kenapa orang yang bijak pandai boleh tercapai sehingga hujah sebegini, di mana nilai ilmiah dan ‘keliberalan’ ilmu itu?

Notakaki:
[1] Lihat Prof HAMKA, (-) Tafsir Al Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Juzu 18, hlm 229
[2] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/3296-tashih-al-mafahim-12-benarkah-perempuan-yang-sudah-tua-tidak-diwajibkan-untuk-memakai-tudung

Syubhat 8: Situasi masyarakat Melayu dahulu tidak memakai tudung sehingga datangnya semangat dari evolusi Khomeini 79 dan pengaruh gerakan Islamis.

Sebenarnya suasana dan semangat zaman itu perlulah dirai. Pada zaman awal 50-an hingga 80-an penekanan mengenai tudung tidak sangat ditekankan. Masyarakat ketika itu menganggap orang yang tidak bertudung itu suatu perkara yang biasa. Bagi orang yang tidak bertudung pun tidak mendatangkan fitnah ke atas diri mereka. Akan tetapi apabila kesedaran agama semakin berkembang, situasinya berubah. Pada tahun 90-an, islah untuk bertudung itu menjadi penekanan kepada masyarakat Malaysia sehinggalah ke hari ini ianya telah mengubah mentaliti masyarakat bahawa tudung itu suatu kemestian kepada seorang perempuan. Sekiranya perempuan tidak memakai tudung pada zaman ini, maka ia menjadi fitnah kepada masyarakat maka situasinya tidak sama dengan zaman dahulu. Mentaliti masyarakat pada hari ini sudah berubah dan mentaliti masyarakat kini tidak bersalahan dengan agama.

Jika logik ini ingin dimainkan kerana tidak mahu merai perkembangan kesedaran agama di kalangan masyarakat, adakah kita masih ingin mengekalkan amalan khurafat dan tahyul yang dipercayai oleh orang dulu-dulu. Walhal pada ketika dahulu ada segelintir tok imam yang mengepalai sembahyang hajat dan setelah itu menjamu pulut kuning dan ayam panggang kepada hantu. Kepercayaan menjamu hantu laut dengan puja pantai, ritual mandi Safar dan sebagainya. Perkara ini sudah dihakis dek kerana kesedaran terhadap nilai Islam itu semakin berkembang. Begitulah juga dalam soal tudung ini. Logik yang mudah untuk difahami.

Syubhat 9: Hadis mengatakan perkara yang bukan aurat wanita “ini dan itu” adalah bermaksud kepala dan tangan, kepala itu termasuk rambut. 

Merujuk tulisan Maryam Lee mengatakan Prof Quraish Shihab mengatakan situasi dirinya itu memenuhi kehendak menutup aurat. Dengan membawa satu hadis yang nabi mengisyaratkan “haza wa haza” dalam riwayat menyebut:

HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).”

Hadis ini ijmak (kesepakatan seluruh ulama Islam) para ulama mazhab mengatakan ia adalah isyarat “al wajhu wa kaffan” wajah dan kedua pergelangan tangan. Tidak ada satupun ulama salaf yang memahami maksud nabi itu sebagai mengisyaratkan kepada kepala termasuk rambut. Apa yang dibawa oleh Quraish Shihab itu adalah tafsiran yang tidal bertepatan dengan ijmak para ulama berdasarkan hadis-hadis berkaitan masalah ini. Malah, situasi di zaman nabi adalah ganjil bagi wanita muslimat tidak menutup kepala dan jika tafsiran Quraish Shihab itu benar maka sudah tentu kita akan menemukam banyak riwayat yang menceritakan muslimah pada zaman nabi tidak memakai tudung dan menganggap kepala dan rambut tidak perlu ditutup.

Jika beliau beralasan ia tidak wajib tetapi tudung itu hanya sekadar langkah berjaga-jaga sahaja, itu adalah penafsiran yang silap. Kerana perintah hadis ini terlalu jelas kerana nabi mengatakan “lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya” ia bersifat larangan syariat dan bukan larangan wasilah.

Syubhat 10: Takkan Allah akan mengazab wanita ke neraka hanya disebabkan menampakkan sehelai dua rambut.

Allah menghukum wanita dimasukan neraka berjuta-juta tahun disebabkan tidak memakai tudung? Tidak ada spesifik dalil di dalam al Quran dan Hadis selama mana Allah mengazab wanita tidak menutup aurat. Apa yang ditekankan adalah memakai tudung itu merupakan perintah dari Allah. 

Ia bukan isu membuat kesalahan semata-mata tetapi isunya kepada siapa kesalahan tersebut dibuat. Ia umpama seorang anak mengkhianati ibubapanya dengan memfitnah bermacam-macam fitnah. Jika mengikut undang-undang tiada apa-apa akta yang boleh dikenakan kepada anak tersebut. Manakala seorang rakyat mengkhianati sultan dengan memfitnah sultan, mengikut undang-undang dia akan dikenakan hukuman yang berat. Perbuatan yang sama tetapi jika dibuat kepada orang tertentu maka hukuman akan dikenakan. Ia bukan soal melakukan kesalahan semata-mata tetapi lebih kepada siapa yang dia lakukan kesalahan. 

Allah Maha Pengampun dan tidak bermaksud kita boleh melanggar terus perintahNya. ia bukan isu disebabkan ternampak rambut sehelai dua atau memakan sekeping dua daging babi, tetapi sikap melanggar undang-undang yang ditentukan oleh Allah itu yang akan dihitung.

Syubhat 11: Cukup tunduk pandangan bukan menutup kepala dengan kain.

Salah satu hujah golongan ini mereka mengatakan tujuan surah An Nur ayat 30-31 itu adalah perlu menundukkan pandangan dan bukannya menutup kepala dengan kain tudung. Ini salah satu penyelewengan maksud keseluruhan ayat al Quran. Mereka hanya mengambil maksud di pangkal ayat 30 surah an Nur dan tidak habiskan dengan sambungan ayat seterusnya jelas menyatakan:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada.” (An-Nur: 31).

Ayat ini jelas menyuruh kain dari kepala hingga ke bawah dada.

This post is available in: msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

Latest Posts

Top Authors

Most Commented

Featured Videos

This post is available in: msMelayu