Samaritan: Pecahan Yahudi Yang Menunggu “Nabi Muhammad”

Samaritan adalah nama sebuah agama kuno yang diamalkan oleh masyarakat Samaria. Mereka telah memisahkan agama tersebut dari agama Yahudi sekitar 2,000 tahun yang lalu.

Komuniti agama ini masih lagi wujud hingga sekarang. ‘Samaritan’ berasal daripada perkataan Ibrani, ‘Samerim’ yang bermaksud penjaga. Manakala ‘Samaritan’ pula adalah agama yang menjaga undang-undang Taurat. Ia juga dikenali sebagai agama Abrahamik yang berkait rapat dengan agama Yahudi. Mereka mendakwa agama mereka adalah ajaran Nabi Musa yang asli berbanding Yahudi.

Sejarah agama Samaritan agak panjang kerana mereka juga merupakan keturunan Ibrani dan agama mereka telah wujud sekian lama di Timur Tengah. Penganut Samaritan hidup di daerah tebing barat Palestin atau pergunungan Gerizim. Gunung Gerizim merupakan kiblat bagi penganut Samaritan.

Daerah itu merupakan tanah suci bagi masyarakat Samaritan kerana rumah ibadah mereka pernah didirikan di situ. Mereka percaya bahawa di Gunung Gerizim inilah lokasi Nabi Ibrahim melakukan ibadah korban. Bagi agama Yahudi pula, Jerusalem adalah tanah suci menurut mereka.

Sejarah

Menurut tradisi Samaritan, Gunung Gerizim adalah kawasan suci bagi bani Israel setelah Joshua (Yusha bin Nun) menakluk Kan’an dan membawa bersama suku bani Israel mendiami tanah tersebut. Kisah mengenai Gunung Gerizim ini boleh didapati melalui Perjanjian Lama yang juga berkait rapat dengan Nabi Musa AS.

Suatu ketika, Nabi Musa AS memerintahkan Joshua untuk mengumpulkan 12 suku bani Israel. Kemudiannya, mereka dipecahkan menjadi dua kumpulan; 6 bani Israel ditempatkan di puncak Gunung Gerizim yang dikenali ‘gunung rahmat’ dan sebahagian lagi ditempatkan di puncak Gunung Ebal yang dikenali sebagai ‘gunung laknat’.[1]

Penganut Samaritan mendakwa mereka juga salah satu daripada 12 suku bani Israel. Ini kerana mereka merupakan keturunan cucu Nabi Ya’kub melalui Nabi Yusuf. Nabi Yusuf mempunyai dua orang putera iaitu Efraim dan Manasye. Melalui keturunan inilah berkembangnya kaum Samaritan.[2]

Mereka berpecah dan terpisah daripada kaum Yahudi disebabkan pelbagai perkara. Ia bermula pada zaman imam Eli di kota Silo, Israel sebelum digantikan oleh Nabi Samuel sekitar tahun 722 SM. Perpecahan mereka tidak melibatkan perpecahan aliran atau pecahan ranting sahaja tetapi perpecahan itu telah mewujudkan sebuah anutan ortodoks dalam ajaran Nabi Musa.
Mereka menamakan agama tersebut sebagai ‘Samaritan’ bersempena golongan yang menjaga ajaran Taurat Musa. Tetapi, negara Israel tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai agama dan status keagamaan mereka seakan-akan tidak diendahkan.

Menurut buku ‘The Samaritans The Earliest Jewish Sect: Their History’ menyatakan bahawa dalam sumber rujukan orang Yahudi juga mereka mengakui bahawa Samaritan merupakan keturunan Nabi Yusuf dan pada asalnya mereka dari keturunan bani Israel.[3] Mereka terus mendiami kawasan pergunungan Gerizim hingga sekarang.

Kepercayaan

Menurut kepercayaan Samaritan, hanya terdapat satu Tuhan sahaja yang dikenali sebagai ‘YHWH (Yahweh)’. Tuhan yang sama diiktiraf oleh para nabi Ibrani bermula Nabi Ibrahim hingga Nabi Musa. Mereka juga beriman bahawa Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Penganut Samaritan juga percaya bahawa Gunung Gerizim adalah sebuah tempat perlindungan yang telah dipilih oleh Allah khusus untuk bani Israel, bukan Jerusalem sepertimana kepercayaan penganut Yahudi. Mereka juga beriman kepada syurga, neraka serta yakin akan bangkitnya seorang rasul di akhir zaman bernama Taheb dikenali sebagai pemulih ajaran.

Taheb

Taheb merupakan seorang rasul sepertimana yang dinyatakan dalam Taurat, kitab Ulangan bab 18, ayat 15 dan 18. Ayat ini sudah dibahas oleh ramai ilmuan teologi dan ia sepadan dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW. Namun, golongan Samaritan menafikan perkara itu kerana menggangap Taheb dari kalangan mereka.

Disebabkan nama agama mereka ‘Samaritan’ yang bermaksud penjaga, maka menjadi kewajipan mereka untuk menjaga Taurat Musa. Manakala para imam hanya bertugas sebagai penterjemah undang-undang, penjaga tradisi dan bukan membuat tafsiran terhadap Taurat. Mereka menolak kitab Talmud yang menjadi himpunan penulisan klasik Rabbi Yahudi yang terdiri daripada Talmud Mishnah dan Talmud Gemora.

Agama Samaritan menolak kedua-dua Talmud ini kerana dalam tradisi mereka, tidak ada istilah penafsiran kepada hukum-hukum Taurat. Mereka percaya dengan membuat penafsiran, hukum itu akan diselewengkan seperti yang berlaku kepada agama Yahudi. Terdapat sedikit perbezaan dalam senarai 10 hukum Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa. Dalam versi Yahudi, menerusi kitab Keluaran bab 20 menyenaraikan 10 hukum Taurat.

Menurut agama Samaritan, terdapat perbezaan antara 10 hukum Taurat mereka dengan Taurat versi Yahudi iaitu perlunya satu perintah untuk memuliakan Gunung Gerizim yang didiami mereka. Ini kerana menurut mereka, versi Taurat Musa yang dimiliki mereka adalah asli. Manakala teks Taurat orang Yahudi adalah teks yang telah dipalsukan oleh Ezra semasa orang Yahudi menjadi kaum buangan di Babylon.

Kitab Suci

Samaritan menolak kitab Talmud yang diimani oleh orang Yahudi dan mereka beriman kepada kitab Taurat, kitab teragung. Taurat Samaritan (Pentateukh Samaritan) adalah versi lima kitab Taurat dalam bahasa Ibrani tetapi dengan aksara abjad ‘Samaria’, yang digunakan oleh penganut Samaritan.

Dalam himpunan kitab suci Samaritan, mereka juga menggunakan kitab Abisha (Abisha Scroll), di sinagog Samaritan daerah Nablus. Mereka percaya, kitab itu ditulis oleh Abisua bin Pinehas, cicit nabi Harun.
Di samping itu, mereka juga memiliki kitab-kitab kecil yang dihimpun dalam kitab suci mereka atau dikenali sebagai Perjanjian Lama Samaritan.

Di dalamnya terkandung beberapa buah buku antaranya;

○ Taurat, The Tolidah (Penciptaan dengan masa Abisha)
○ The Chronicle Joshua
○ Adler (Israel sejak zaman penindasan sehingga pembuangan)
○ The Hillukh (Kod halakhah, perkahwinan, berkhatan dan lain-lain)
○ At-Tabbah (Halakhah dan tafsiran beberapa ayat serta bab-bab dari Taurat, yang ditulis oleh Abu al-Hassan abad ke-12 M)
○ Kitab al-Kafi (Kitab Halakhah, yang ditulis oleh Yusuf al-Ascar abad ke-14 M)
○ Al-Asatir yang memiliki bab ulasan Haggadic Midrash daripada Abu al-Hasan al-Suri, Hakkam Markha, kisah mengenai Pinkhas pada Taheb dan kisah Molad Maseh (kelahiran Musa)
○ Buku doa Mazmur dan pujian.

Samaritan Hari Ini

Pada 1 Januari 2015, jumlah penganut Samaritan hanya berjumlah 777 orang sahaja.[5] Kebanyakan mereka berada di Israel dan Tebing Barat. Antara kebolehan mereka adalah boleh bercakap dalam bahasa Ibrani dan Arab.

Masalah besar bagi penganut Samaritan yang tinggal di Tebing Barat ini adalah mereka sering menjadi mangsa perbalahan antara negara haram Israel dan Palestin. Seorang pendeta tertinggi Samaritan bernama Robert Cohen mengatakan,
“Orang Palestin tahu kami tinggal di antara komuniti Arab, tetapi di benak fikiran mereka, kami dianggap sebagai Yahudi. Kami juga fasih berbahasa Arab, malah orang Yahudi turut menganggap kami sebagai orang Arab.”

Mereka hidup di tengah-tengah antara dua musuh. Oleh itu, mereka mengambil pendekatan untuk berkecuali daripada peperangan itu dan cuba membangunkan hubungan baik dengan kedua-duanya (Yahudi dan Palestin). Masyarakat Samaria yang menganut Samaritan diancam kepupusan. Ini kerana perkahwinan tradisi yang diamalkan mereka menyebabkan kebanyakan bayi dilahirkan cacat.

Pada asalnya, mereka tidak membenarkan penganut ini berkahwin dengan bangsa lain. Malah, agama mereka juga tidak boleh dianut oleh masyarakat luar, hanya keturunan mereka sahaja yang boleh mengamalkan ajaran ini. Namun, pada hari ini suasana sedikit berubah. Apabila bilangan lelaki Samaritan melebihi jumlah wanita, Robert Cohen membenarkan mereka untuk mencari calon isteri di luar komuniti mereka. Dengan syarat, wanita itu perlu menganut agama ini apabila sudah menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengan lelaki Samaritan tersebut.

Kesimpulan

Agama ini jarang dibincangkan dalam kalangan ilmuan teologi. Mungkin disebabkan komuniti mereka sedikit dan sering dianggap salah satu mazhab dalam Yahudi. Namun, hakikatnya tidak. Ia adalah agama yang lahir daripada pecahan bani Israel dengan membawa ajaran Taurat Musa sebagai pegangan asas.

Samaritan adalah sebuah agama yang telah membentuk jati diri penganutnya. Bagi mereka, itu adalah sebuah agama yang sudah ditentukan oleh Musa AS dan tidak memerlukan nabi lain kecuali Taheb, iaitu nabi yang akan lahir di akhir zaman.

Namun, belum ada mana-mana kitab mengatakan mereka mengakui Taheb telah diutuskan atau belum. Menurut kepercayaan Muslim, Taheb yang disebutkan dalam agama Samaritan ini adalah Nabi Muhammad SAW.
Walaupun komuniti Samaritan kelihatan akrab dengan umat Islam, mereka dilarang daripada memakan makanan Muslim. Tetapi, mereka dibolehkan memakan makanan Yahudi namun tidak digalakkan. Ini antara perkara menarik yang terdapat dalam agama ini.

Nota kaki

[1] Kitab Ulangan bab 11:29, bab 27:12, Joshua bab 8:33
[2] Menurut Ibnu Hazm dalam Al Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa an-Nihal mengatakan Samaritan atau disebut Samariyyah merupakan sebahagian daripada mazhab Yahudi.
[3] Lihat J. A. Montgomery, (1907). The Samaritans The Earliest Jewish Sect: Their History, Theology and Literature, hlm 32.
[4] 1 Tawarikh 6: 50
[5] Lihat The Samaritan Update”. Diperolehi pada 15 Mei 2015.

This post is available in: msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

Latest Posts

Top Authors

Most Commented

Featured Videos

This post is available in: msMelayu