Melihat Senarai Agama Pluralisme

Fahaman pluralisme sudah kita maklum secara umumnya adalah fahaman yang mengiktiraf semua agama membawa ke syurga. Ia berbeza dengan konsep pluraliti.

Idea yang menggabungkan agama-agama di bawah satu nama ‘persatuan’ ini telah berlaku kepada beberapa buah gerakan keagamaan. Jika dilihat di dalam sejarah antara yang terawal membawa konsep sinkretisme (pencampuran lebih dari satu agama) untuk dijadikan sebuah ajaran tersendiri adalah agama.

1) Din-i-Ilahi

Agama ini dicipta oleh Sultan pemerintahan Mughal, iaitu Akbar The Great pada tahun 1582 M. Din-i-Ilahi atau Agama Tuhan adalah sebuah agama yang bersifat sinkretik (mengadun dengan agama lain). Agama yang banyak mempengaruhi pembentukan agama ini adalah Islam dan Hindu, manakala agama Kristian, Jainisme, Sikhisme dan Zoroastrianisme juga turut diambil untuk disenkretikkan.

Agama ini bermula dengan Ibadat Khana (rumah ibadat) yang mana digunakan untuk berdialog dan berdiskusi dari pelbagai fahaman samada agama ataupun falsafah. Hasil daripada itu Akbar membuat kesimpulan bahawa tidak ada agama yang satu-satunya memonopoli kebenaran seperti dakwaan penganut agama masing-masing. Semua agama mengandungi kebenaran.

Pun begitu ada perbahasan yang mengatakan Din-i-Ilahi hanyalah berbentuk sebuah persatuan yang menghimpunkan agama-agama di bawah mereka dan mengiktiraf pluralisme.

2) Unitarian Universalist

Unitarian Universalisme adalah sebuah gerakan keagamaan baru yang agak liberal dan berpaksikan kepada konsep “setiap manusia bebas mencari kebenaran” dengan kata lain ia bergerak dengan mengutamakan kaedah kebebasan intelektual.

Gabungan Unitarian Universalis (Unitarian Universalist Association UUA), telah ditubuhkan pada tahun 1961 hasil daripada gabungan dari Persatuan Unitarian Amerika dengan Gereja Universalis Amerika. Pada awalnya gerakan ini terpisah di antara satu sama lain. Unitarianisme dan Universalist merupakan dua buah gerakkan Kristian yang memiliki sejarah latar yang tersendiri.

Antara presiden Unitarian Universalist Association yang terkenal ialah John A. Buehrens beliau merupakan seorang yang berfahaman Unitarian (monoteisme) yang menjadi presiden dari tahun 1993- 2001. Beliau dikecam oleh golongan Kristian Katolik kerana banyak menulis buku yang menentang fahaman Katolik terutama dalam konsep ketuhanan.
Gerakkan baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutama dari kalangan Kristian liberal. Mereka telah menubuhkan lebih dari 1000 gereja dibawah Unitarian Universalist.

Dalam kepercayaan Unitarian Universalis mereka tidak ada konsep kesaksian keimanan. Agama ini juga boleh dikatakan tidak meletakkan konsep ketuhanan kepada penganutnya. Unitarian Universalis percaya kepada konsep kebebasan berpendapat, kebebasan berfikir, kebebasan keimanan, dan kebebasan agama.

Agama ini juga menjadi perdebatan dari kalangan ahli teologi. Samada ia memenuhi syarat sesebuah agama atau tidak. Ramai yang menganggap ia adalah agama sinkretis kerana meraikan semua agama.

3) Cao Dai

Agama Caodai adalah agama yang wujud di Vietnam sekitar tahun 1926. Ia diasaskan oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Ngo Van Chieu. Caodai adalah agama yang ketiga terbesar di Vietnam selepas daripada Buddha dan Kristian. ‘Cao’ bermaksud ‘tertinggi’ manakala ‘Dai’ bermaksud ‘istana’. Caodai merujuk kepada istana yang besar di mana tempat tuhan berada. Ia juga boleh dikenali sebagai kerajaan syurga. Perkataan ini juga digunakan sebagai nama simbolik tuhan mereka.

Agama Caodai adalah sebuah agama sinkretis yang menggabungkan unsur-unsur dari doktrin agama utama di dunia antaranya adalah agama Buddha, Konfusianisme, Kristian, Hindu, Islam, Yahudi, Taoisme, dan juga Geniisme (kepercayaan asal Vietnam). Pusat utama agama mereka adalah di Tay Ninh, Vietnam. Agama ini juga memiliki pendirian seperti Baha’i yang ingin menyatukan agama-agama lain di bawah agama mereka. Malah di dalam rumah ibadat mereka disediakan ruang untuk penganut Tao, Buddhis, Konfusian dan Muslim (dengan pakaian warna tertentu) untuk turut beribadat.

Caodai mengiktiraf semua tokoh-tokoh agama seperti Siddharta Gautama Buddha, Jesus, Kong Fu Tze, Lao Tze, nabi Muhammad dan tokoh lain kerana bagi mereka kesemuanya membawa seruan yang sama. Patung tokoh-tokoh tersebut diukir dan diletakkan di dalam rumah ibadat mereka.

4) Baha’i

Baha’i antara agama muda yang lahir di abad ke-19. Ia adalah sebuah agama yang menekankan soal kesatuan bagi seluruh manusia dengan menyatukan agama-agama yang ada. Agama Baha’i terbentuk di Iran pada abad ke-19 M. Pendirinya menggelarkan dirinya sebagai Baha’ullah atau nama sebenarnya Mirza Hussein Ali. Agama Baha’i percaya bahawa Tuhan mengutuskan para rasulnya untuk mendidik manusia. Mereka percaya bahawa tokoh-tokoh seperti Lao Tze, Buddha, Krishna, Jesus dan nabi-nabi dalam Islam itu adalah rasul yang perlu mereka imani.

Baha’i membawa tiga prinsip utama iaitu kesatuan Tuhan, kesatuan agama dan kesatuan manusia. Konsep ketuhanan di dalam Baha’i jelas terpengaruh dengan konsep ketuhanan dalam Islam. Baha’ullah memperkenalkan Tuhan itu Maha Esa, ia tidak dapat dilihat, tidak memiliki jantina, tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan, yang mencipta segala sesuatu di alam ini.

Struktur Baha’i adalah merupakan sebuah agama yang sinkretisme. Ia adalah kepercayaan yang menghimpun doktrin agama-agama yang ada lalu meletakkan di bawah kesatuan Bahaiyyah. Antaranya adalah agama Buddha, Islam, Yahudi, Kristian, Zoroaster dan Hindu sebagai percampuran kepada kesatuan di bawah Baha’i. Sebab itu jika dilihat ritual keagamaannya memiliki persamaan dengan agama-agama lain. Konsep agama ini hampir sama dengan agama Din-i-Ilahi.

5) Happy Science

Happy Science atau disebut dalam bahasa Jepun ‘Kofuku no Kagaku’ adalah sebuah gerakan keagamaan dan kerohanian yang ditubuhkan di Jepun pada 6 Oktober 1986 oleh Ryuho Okawa. Beliau merupakan seorang pengkagum kepada seorang tokoh agama baru di Jepun yang bernama Takahashi Shinji.
Mereka juga percaya tuhan (El Cantare) menjelma di bumi sebagai manusia dan dilahirkan sebagai Sidharta Gautama Buddha. Dalam Perjanjian Lama (Bible), Elohim itu difahami dan dikenali sebagai El Cantare, yang turut mewakili legenda purba bagi semua agama. Bagi Happy Science, semua agama datang dari satu sumber iaitu El Cantare.
Menurut buku-buku Okawa, beliau juga mendakwa sebagai jelmaan tuhan (El Cantare) pada akhir zaman. Lalu, beliau bertindak membimbing umat manusia untuk mewujudkan sebuah dunia yang harmoni dan makmur. Sebelum ini beliau mendakwa pernah lahir dalam bentuk tokoh seperti La Mu di Benua Mu, Thoth di Atlantis, Rient Arl Croud Empayar Kuno Inca, Ophealis dan Hermse di Greece, serta Sidharta Gautama Buddha di Nepal.
Selain itu beliau juga sering mendakwa bertemu dengan roh Nabi Muhammad, Jesus, Musa, Buddha dan tokoh agama-agama lain. Dan beliau juga membawa alasan bahawa semua agama adalah sama dan membawa menuju kepada tuhan.

6) Unification Church

Unification Church merupakan sebuah agama kontroversi dari Korea dan malah turut menerima tempias di Malaysia. Gerakkan keagaman ini diasaskan oleh Sun Myung Moon yang lahir pada 25 Februari 1920. Beliau mendakwa dirinya sebagai jelmaan kedua Jesus akhir zaman.

Dalam mewujudkan ajaran baru ini, Father Moon telah menggabungkan inti ajaran Kristian dengan kepercayaan Shamanisme (Korea), Daoisme dan Konfusianisme. Selain itu juga beliau telah membuat penafsiran baru buat Bible yang kebanyakkan bercanggah dengan tafsiran Kristian arus perdana. Hasil olahan itu lalu diadun dan diolah ke dalam kitab sucinya yang berjudul “Divine Principle” yang diterbitkan pada 1957

Ajaran Sun Myung Moon yang pernah mendakwa sering berutus surat dan berjumpa dengan nabi Muhammad, Jesus, Buddha, Kong Fu Tze, Musa dan pelbagai lagi. Dan mereka juga bersikap membawa idea pluralisme, cuba misi mereka bukan untuk mengatakan membawa kebenaran tetapi hanya untuk menyelesaikan misi yang Jesus tidak dapat selesaikan iaitu 3 Great Bleassing.

Unification Church juga percaya bahawa Father Moon dan Mother Moon adalah jelmaan Adam dan Hawa yang ketiga. Selain itu juga, pengikut Father Moon sangat sinonim menisbahkan Father Moon ini adalah Imam Mahdi yang ditunggu umat Islam, dakwaan ini disebut oleh seorang pengikut tegarnya Jennifer Tanabe menulis di dalam artikel dalam laman sesawang mereka yang bertajuk “The Kalki Avatar and the Second Coming of Christ, the True Parents of Humankind”.

Bukan itu sahaja, malah pengikutnya juga memadankan Father Moon dengan bakal ‘ketibaan imam’ di dalam agama lain seperti Maitreya (Buddha), Kalki Avatar (Hindu), Juru Selamat Kedua (Kristian) dan banyak lagi.

Kesimpulan

Trend agama baru kebelakangan ini lebih bersifat pembentukan ‘penyatuan’. Hal ini mungkin disebabkan mereka melihat terlalu banyak perpecahan berlaku di dalam agama mereka lalu mereka mewujudkan satu agama untuk menyatukan semua pihak. Dengan alasan membuat satu agama untuk menyatu semua agama itu juga merupakan sebuah bentuk perpecahan dan menambah satu ajaran baru lagi.

This post is available in: msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

Latest Posts

Top Authors

Most Commented

Featured Videos

This post is available in: msMelayu