Kesalahan Hawa Penyebab Adam Diturunkan Dari Syurga: Antara al Quran & Bible

Tidak kurang tersebarnya kisah yang menyalahkan perempuan disebabkan dahulu Hawa menyebabkan Adam memakan buah terlarang. Malah ada tanggapan menyatakan jika tidak diciptakan Hawa, Adam masih di syurga. Ini jelas kata-kata yang tidak patut untuk diucapkan oleh seorang muslim.

Pandangan yang cenderung ke arah menyalahkan wanita ini sebenarnya bukan berasal dari fahaman al Quran dan Hadis. Ia berasal dari Bible, disebut di dalam Perjanjian lama dan baru:

“Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan rendah hati. Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Tuhan.”[1] (1 Timotius: 2: 11-14)

Hal ini berkait dengan kisah di dalam Perjanjian Lama, buku Kejadian menceritakan faktor kepada dosa Adam adalah disebabkan oleh wanita:

Ular itu bertanya kepada kepada perempuan itu, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah pada sebarang pokok di taman ini”?

“Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu. “Kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.”

Ular itu menjawab “itu tidak benar, kamu tidak akan mati. Tuhan menyebut demikian kerana kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka, kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.

Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberi buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu.” (Kejadian 3: 1-6)

Ayat seterusnya menyambung dengan mempersalahkan wanita:

Tuhan bertanya kepada Adam: “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.” Adam menjawab: “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku mamakannya.” (Kejadian 3: 11-12)

Jelas kisah yang menyalahkan wanita itu adalah berasal dari Bible dan bukan dari ajaran al Quran. Jika dilihat di dalam al Quran, Allah menceritakan situasi itu bukan disebabkan oleh wanita seorang akan tetapi kerana kesilapan kedua-dua mereka sekali.

“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”. (Surah al A’raaf: 20)

Di dalam ayat ini, Allah jelas menyebut yang menjadi mangsa bisikan syaitan itu adalah mereka kedua sekali dan bukan sebelah pihak sahaja. Islam tidak memberi imej buruk kepada wanita dan jauh sama sekali hendak menghukum wanita disebabkan peristiwa ini. Di dalam Bible samada dalam Perjanjian Lama dan Baru dilihat konsisten menyalahkan wanita disebabkan peristiwa itu.

Adalah tidak patut untuk menyatakan Islam merendahkan martabat wanita di dalam isu ini walhal apa yang diceritakan di dalam al Quran sebalik dari apa yang disebut di dalam Bible.

Kesimpulan

Di dalam Islam, konsep menyalahkan wanita disebabkan peristiwa ini tidak wujud sama sekali, ia adalah cerita yang berasal dari Bible. Di dalam al Quran tidak ada satu pun ayat yang memperendahkan wanita apatah lagi menyalahkan wanita.

Nota kaki:

[1] Surat ini ditulis oleh St Paul kepada seorang pendeta Kristian bernama Timotius yang berada di Asia kecil, dan kandungan surat ini adalah konteks yang sememang dimaksudkan oleh St Paul.

This post is available in: msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

Latest Posts

Top Authors

Most Commented

Featured Videos

This post is available in: msMelayu