Ateisme: Fenomena Menyalahi Moral & Rukun Keberagamaan

Ateisme: Fenomena Menyalahi Moral & Rukun Keberagamaan

Di dalam penulisan kali ini memfokuskan fenomena kewujudan agama baru yang telah terjadi di negara barat terutamanya hasil daripada perkembangan fahaman ateis.

Hal ini bertitik tolak setelah berlakunya revolusi agama Kristian di Barat. Ini kerana situasi itu telah mencetuskan perubahan di dalam bentuk keberagamaan di Barat. Setelah fahaman sekular mengambil alih daripada kepimpinan teokrasi Gereja di barat ia telah menyebabkan lahirnya gerakkan ateisme yang bersifat anti kepada agama dan menafi kewujudan Tuhan. Golongan ini begitu pesat sekali berkembang. Menurut Pew Research Center mengatakan sejak dari tahun 1975 hingga 2007, bilangan ateisme di Barat meningkat dua kali ganda.

Akhir-akhir ini suatu fenomena yang semakin parah telah dilakukan oleh golongan komuniti ateis apabila gerakkan mereka mula tersebar. Mereka telah banyak mendirikan agama parodi atau dikenali juga agama satira.

Mereka sinonim dengan kelompok yang menentang golongan beragama yang mempercayai kepada kewujudan Tuhan. Oleh itu, salah satu bentuk mereka mahu menyindir dan menyebarkan doktrin ateisme adalah dengan mencipta agama mereka tersendiri dengan berjenaka dan memperolok-olokkan konsep ketuhanan di dalam kepercayaan mereka sendiri agar orang memahami bahawa konsep ketuhanan adalah tidak masuk akal. Itulah tujuan mereka.
Sebelum ini kami sudah membincangkan sebuah gerakkan ateis yang mencipta agama parodi yang bertapak di Amerika Syarikat dikenali sebagai Pastafarianisme. Baca sini.

Banyak kes penghinaan kepada agama lain yang melibatkan doktrin Pastafarian. Sebagai contoh pada 21 September 2012, seorang Pastafarian bernama Giorgos Loizos ditahan di Greece atas tuduhan berniat jahat dengan mempersendakan agama Kristian dengan mewujudkan laman Facebook menghina seorang tokoh paderi Kristian Ortodoks di Greek yang bernama Elder Paisios. Giorgos Loizos menghina paderi tersebut dengan meletakkan nama ‘Elder Pastitsios’ yang mana nama dan mukanya digantikan dengan pastitsio iaitu pasta dan sos berkaramel. Kes yang bermula di Facebook itu di bawa sampai ke Parlimen Greek dan dibicara di mahkamah sehingga dijatuhkan hukuman penjara kepada Giorgos Loizos.

Begitu juga dengan kes-kes yang lain. Ia adalah bersumberkan fahaman yang menghina dan mempersendakan kepercayaan agama. Ini kerana Pastafarian bukanlah sebuah kepercayaan atau sebuah keimanan. Ia adalah sebuah agama parodi atau lebih bersifat sarkastik dengan menyindir golongan yang beragama dengan doktrin-doktrin mereka yang tidak masuk akal. Manakala bagi golongan yang menyokong fahaman ini pula mereka kebanyakkan adalah dari golongan ateis.

Sokongan dan anutan mereka itu tidak sama sekali mewajahkan sebuah agama tetapi mereka lebih bersifat berolok-olok untuk menyindir golongan yang beragama. Malah lafaz-lafaz yang bersifat keagamaan seperti ‘Ameen’ ditukar kepada mereka sebagai ‘Ramen’ (mee) dan sebutan itu diguna untuk mengaminkan doa. Begitu juga dengan nama bulan Ramadhan mereka memanggil dengan ‘Ramendan’ dan banyak lagi perkataan-perkataan yang digubah oleh mereka. Permainan lafaz-lafaz ini banyak terdapat dalam ‘kitab suci’ mereka iaitu Gospel of Flying Spaghetti Monster. Malah di bahagian kata pengantar dalam buku itu Bobby Henderson mengaku bahawa beliau adalah nabi kepada Pastafarian.

Kononnya dengan melakukan cara ini untuk menyedarkan masyarakat bahawa agama adalah ciptaan manusia dan agama memiliki doktrin yang pelik dan tidak masuk akal. Malah di dalam buku yang dikarang oleh Bobby Henderson banyak mengkritik teori evolusi dengan cara yang agak bodoh sekali dengan mencipta doktrin manusia berasal daripada lanun dan bukan dari spesies beruk seperti cara faham evolusionis. Itu merupakan cara mereka mempersendakan golongan yang menolak teori evolusi terutama golongan Kristian di Amerika Syarikat.

Ia bermula daripada pemberontakkannya terhadap sukatan pengajian mengenai konsep penciptaan alam semula yang mahu diubah dari teori evolusi kepada cara intelligent design. Maka Bobby Henderson mula bermain sarkastik dengan mereka-reka kisah yang berunsur lawak menentang fahaman evolusi walau pada hakikatnya beliau seorang yang beriman dengan teori evolusi. Pada peringkat awalnya terdapat ramai tokoh Kristian yang menyokong cara lawak Bobby menolak evolusi akan tetapi lama-kelamaan baru mereka perasan apa yang dilakukan oleh golongan Pastafarian adalah merupakan sindiran yang mengisyaratkan kepada cara fahamanan Kristian dalam menolak evolusi.

Tidak dinafikan fahaman ini muncul disebabkan golongan agamawan gagal menjelaskan kepada mereka antara hubungan sains dan kepercayaan dalam agama. Pada awal abad ke 20 ini merupakan zaman ideologi Darwin sedang mencapai kemuncak di dalam dunia sains. Mutakhir ini barulah terdapat ramai tokoh agama yang menentang teori evolusi dengan cara saintifik dan logik yang sedikit sebanyak membantutkan perkembangan ideologi mereka.

Akan tetapi, sarkastik yang dilakukan oleh Pastafarian terus dilakukan malah agak sukar untuk berhujah dengan mereka kerana mereka memakai dua anutan dalam satu masa, dari sudut pertama mereka boleh manjadi ateis dan dari sudut kedua mereka boleh menjadi orang beragama. Sekiranya dikritik cara fahaman agama mereka, mereka akan mengemukakan cara berfikir ateisme dan sekira mengkritik fahaman ateisme mereka mula mengaku sebagai seorang beragama pula. Kebiasaan perangai seperti ini mereka bukan orang yang jujur dalam mencari kebenaran. Kebenaran itu berpaksi kepada keyakinan dan hujah yang menyakinkan. Ia bukan berdiri dengan sindiran dan fahaman yang rapuh.

Hakikat kepada agama Pastafarian ini ia adalah sebuah agama yang tidak beragama. Hidup dengan penuh sindiran dengan menipu diri sendiri.

Senarai Agama (Gereja) Parodi

Selain daripada agama Pastafarian, masih terdapat banyak lagi agama atau gerakkan gereja baru yang menggunakan cara yang sama untuk menyindir agama. Antara gerakkan ateisme yang menggunakan konsep agama parodi adalah:

1) Landover Baptist Church (Gereja Baptis Landover):

Ia adalah sebuah gereja parodi juga dari kaum ateis dan agnostik di Amerika Syarikat. Gerakkan ini bertujuan untuk menyindir penganut Kristian di Amerika.

2) Missionary Church of Kopimism (Gereja Kopimisme):

Ia adalah sebuah gerakkan kepercayaan copy dan paste segala infomasi yang dianggap doktrin suci di dalam agama. Ia bertapak di Sweden.

3) The Church of SubGenius (Gereja SubGenius):

Ia adalah sebuah agama parodi yang diikuti lebih ratusan ribu orang. Agama ini berkembang di Amerika Syarikat. Agama parodi ini menggambarkan mereka adalah sebuah gereja yang sangat terbuka dengan nilai-nilai sekuler, budaya pop, agama-agama baru, teori konspirasi, trend psikologi masa kini serta teknik-teknik motivasi dan juga turut membincangkan mengenai bisnes jualan. Agama parodi ini memiliki pengaruh besar terhadap perkembangan sekularisme di Amerika Syarikat dan telah menjadi inspirasi bagi beberapa penulis buku, pelukis, penyanyi rock dan pop yang terkenal.

4) Raelism

Cult ini diasaskan oleh Claude Maurice Marcel Vorilhon (1946) di Vichy, Allier, Perancis. Di dalam bukunya Le Livre Qui Dit la Verite yang bermaksud buku yang menceritakan kebenaran, Vorilhon menyatakan bahawa dia telah didatangi oleh makhluk asing pada 13 Disember 1973. Satu spesies makhluk yang mereka panggil sebagai Elohim (Tuhan dalam sebutan Ibrani). Makhluk Elohim inilah telah datang kepada manusia terdahulu dan telah melakukan hubungan seks dengan wanita bumi lalu membiakkan manusia di bumi. Ajaran ini juga mempromosikan seks bebas dengan gaya mereka tersendiri. Mereka adalah golongan ateis yang membina agama Raelism dengan bentuk parodi disamping menanam kepercayaan sains fiksyen. Mereka juga terlibat banyak kontroversi dengan pihak Gereja Katolik seperti pada tahun 1992 di Montreal, Kanada terutama dalam isu seks bebas.

5) Discordianism

Agama Discordian adalah sebuah agama baru yang ditubuhkan pada sekitar tahun 1950-an. Agama ini juga dianggap sebagai agama satira atau parodi disebabkan terdapat banyak doktrin yang tidak masuk akal. Agama satira ini ditujukan untuk mewujudkan teori konspirasi tidak masuk akal yang menyebabkan tidak ada sesiapa pun yang akan percaya. Ia menyebabkan orang tidak akan kritis lagi dalam berteori konspirasi. Ini kerana teori konspirasi Illuminati dan Freemason mendapat perhatian di kalangan masyarakat Amerika pada ketika itu. Terutama selepas pembunuhan Presiden Amerika John F Kennedy 1963. Agama ini telah dicipta oleh Greg Hill dan Kerry Wendell yang merupakan penulis buku Principia Discordia. Agama ini mendakwa menyembah Dewi Eris, dewi Yunani yang terkenal sebagai dewi persengketaan dan yang melakukan huru hara. Oleh disebabkan Discordian beriman kepada Dewi Eris maka mereka sangat menekankan perbuatan huru-hara, dan perbezaan pendapat antara satu sama lain. Ini adalah doktrin utama dalam agama Discordian. Agama ini juga tidak ada peraturan. Discordian sering juga dikenali sebagai Erisian kerena mereka menyembah Eris.

6) Jediisme

Jediisme adalah sebuah agama yang dicipta oleh peminat Jedi dalam filem Star Wars. Agama ini dicipta pada tahun 2001 disebabkan pengaruh watak Jedi dalam Star Wars yang menarik minat mereka untuk turut beragama seperti golongan Jedi. Pengasas agama ini tidak diketahui. Ia juga dipopularkan oleh golongan ateis juga. Agama ini muncul apabila wujudnya gereja untuk penganut Jediisme. Mereka aktif di internat terutama dalam laman Church of Jediism dan Temple of the Jedi Order. Di sinilah mereka mengasaskan sistem kepercayaan Jediisme berdasarkan watak Jedi dalam filem Star Wars.

Masih terdapat banyak lagi gerakkan ateis yang seumpama ini seperti Church of Satan, Invisible Pink Unicorn, Kibology, dan banyak lagi. Sebenarnya perkara ini juga menunjukkan bahawa situasi agama yang dianut oleh majoriti masyarakat Barat kebelakangan ini seakan kosong di dalam jiwa masyarakat mereka. Sehingga menyebabkan golongan ateis sanggup mempermainkan serta memperlekehkan agama yang dianut oleh majoriti masyarakat mereka sendiri. Kadang kala mereka melihat agama yang diamalkan oleh masyarakat mereka itu dengan nada tahyul yang menyebabkan sukar untuk diterima oleh logik mereka.

Kesimpulan

Sebelum ini golongan ateis sudah terkenal dengan slogan yang menghina agama-agama. Kini mereka teralih kepada fenomena mahu beragama untuk melempias nafsu mereka yang mahu menghina agama dengan cara ‘berseni’ mereka sendiri. Oleh itu jelas bahawa perbuatan mereka ini adalah tidak bermoral dan menyangahi kebebasan pihak lain.

Bagi meminimalkan berlakunya perkara tersebut ada beberapa perkara yang harus diambil kira hasil pemerhatian apa yang telah berlaku kepada gereja di Barat.

Pertama, Islam haruslah sentiasa dijadikan sebagai cara hidup berdasarkan sumber yang shahih. Kedua, golongan pendidik khususnya dari kalangan guru-guru hendaklah memiliki bacaan yang luas dan pelbagai termasuk di dalam sudut pengetahuan sains, sejarah, dan logik. Ketiga, golongan agamawan hendaklah menjadi kritis dan sering menjawab persoalan ummah. Jangan sesekali memikirkan ‘hukuman’ itu adalah matlamat kepada segala persoalan yang ditimbulkan. Kerana perkara itu sering dilakukan oleh gereja di Barat sehingga golongan anak muda mereka tidak berminat dengan agama dan mereka lebih memilih untuk menjadi ateis. Keempat, diadakan dialog harmoni diantara agama kerana perkara itu boleh menjernihkan salah faham antara satu sama lain dan mengelakkan dari munculnya pemikiran untuk menyindir agama kerana mereka sering didedahkan dengan persoalan dan perbincangan yang mendalam di dalam agama.


Rujukan:

[1] – (2004) Encylopedia of New Religions, A Lion Book, England
[2] Pew Research Center: http://www.pewresearch.org/
[3] – (1996). A Lion Hanbook The World’s Religions, A Lion Book, England
[4] – (2013). The Religions Book, Dorling Kindersley, London

R&D Team Multiracial Reverted Muslims

This post is available in: msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

This post is available in: msMelayu