Sekiranya sesuatu perkara itu memerlukan keberadaan bagi membuktikan bahawa ia ada, apakah jawapan jika ditanya oleh ibubapa atau pasangan atau anak kita, sekiranya mereka meminta bukti bahawa kita benar mencintai mereka? Sekiranya kita percaya cinta itu wujud, macam manakah bentuknya? Adakah ia berbentuk seperti jantung? Sejujurnya kita akan cakap tiada bentuk untuk menggambarkan cinta itu kerana kita sendiri tidak pernah melihat bentuk cinta itu.
Adakah boleh untuk mengatakan kita cinta kepada mereka sedangkan diri kita sendiri tidak tahu bagaimana bentuk cinta itu secara zahirnya. Persoalannya, wujudkah cinta? Bagaimana caranya untuk membuktikan bahawa kita benar-benar cinta kepada seseorang? Biasanya perasaan cinta itu akan diterjemahkan ke dalam bentuk sikap dan cara kita bercakap dengan orang yang dicintai seperti dengan cara lemah lembut, berkelakuan baik terhadap mereka, disamping itu juga kita merasa berdebar dan segan untuk berhadapan dengan mereka dan sebagainya. Ini semua hanyalah manifestasi terhadap perasaan cinta itu. cinta itu wujud walau tidak terlihat oleh mata.
Cara kita memanifestasikan cinta yang tidak berbentuk dan tidak terlihat itu adalah melalui pergerakan, tutur kata yang baik dan lemah lembut, memiliki nada romantis dan kelakuan kita terhadap orang yang dicintai itu juga berbeza dengan cara melayan orang yang tidak cintai. Sama juga perasaan takut, adakah dapat dilihat bentuk zahir takut itu? Sukar dan mustahil untuk kita gambarkan bentuknya cuma kita hanya mampu untuk melihat manifestasi takut itu dengan melihat badan mula menggigil dan melihat reaksi wajah serta bertindak untuk lari dari situasi yang menyebabkan rasa takut.
Apabila kita menyebut tentang ‘rasa’, barangkali akan ada mereka yang mengatakan “Aku tidak merasa dalam jiwaku bahawa Tuhan itu wujud”. Ini telah pun terjawab dalam perbincangan di atas tentang perasaan cinta itu kita memanifestasikan ia melalui pergerakan serta tingkahlaku kita untuk membuktikan ‘Cinta’ itu wujud. Logik yang sama digunakan untuk persoalan Tuhan tidak nampak jadi Tuhan tidak wujud. Kita boleh lihat manifestasi Tuhan sepertimana Tuhan menyebut di dalam Quran bahawa Tuhan mengaitkan penciptaan-Nya dengan kewujudan Dia sebagai manifestasi:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (Al Baqarah 2:164)
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Ali Imran 3:190-191)
“Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” (Ar Ra’d 13:2)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Ar Rum 30:22)
Jadi, persoalan Tuhan tidak wujud hanya kerana Tuhan tidak dapat dilihat itu tidak dapat menjadi hujah yang kuat. Selagikan udara dan angin yang tidak dapat dilihat itu, kita dapat memahami akan keberadaannya bahawa ia wujud. Malah dapat difahami menifestasi kepada kewujudan angin dan udara adalah dibuktikan dengan rasa dan kesannya seperti pokok bergoyang dan juga dibuktikan melalui ilmu kimia. Oleh demikian itu, harus mengapa kewujudan Tuhan yang tidak terlihat itu sukar difahami?
Mudah untuk memahami manifestasi kewujudan Tuhan ini melalui berfikir akan kejadian alam ini seperti saranan di dalam ayat al Quran sebelum ini. Begitu juga kita dapat tahu akan perasaan cinta, perasaan takut, udara yang berterbangan, dengan kita memahami kewujudannya melalui manifestasi terhadap perasaan dan rasa itu.
Adapun dikalangan manusia yang tidak percaya kepada Tuhan, sebenarnya mereka dapat merasai kewujudan Tuhan kerana fitrah manusia adalah mempercayai ada kuasa besar yang mencipta mereka. Jauh di dalam setiap hati semua manusia, Tuhan sudah menanam fitrah suci ini ke dalam diri manusia, seperti mana semua manusia dapat memahami mencuri hak orang lain itu adalah perkara buruk, menghormati ibu bapa adalah perkara baik, cinta dan perasaan tertarik kepada berlainan jantina dan mahu berkahwin, dan begitu juga dengan perasaan kebertuhanan. Semua ini adalah fitrah.
Itulah satu-satunya jawapan bagi memahami mengapa semua manusia di setiap zaman dan setiap tempat akan wujud kepercayaan di dalam diri mereka akan kuasa hebat yang mencipta alam ini. Tidak kira bertamadun atau mundur sekalipun komuniti manusia itu, nescaya kepercayaan kepada Tuhan itu wujud dengan tafsiran mereka yang pelbagai. Ini kerana perasaan itu adalah fitrah. Al Quran mengkhabarkan, Tuhan meletakkan fitrah ini sebagai tujuan penciptaan manusia di dunia ini. Firman Allah:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”. (Adz Dzariyaat 51: 56)
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini” (Al A’raaf 7:172)
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?”(Al Ankabut 29:61)
Tuhan mengkhabarkan bahawa tujuan manusia ini diciptakan adalah untuk beribadat kepada-Nya. Sebab itu di dalam diri manusia memiliki perasaan kebertuhanan ini. Ia adalah fitrah. Sepertimana seluruh manusia itu berkahwin dan berpasangan. Jika ingin dipersoalkan, siapa yang mengajarkan kepada manusia jika mereka bercinta maka cara untuk menghalalkan cinta itu harus bernikah? Mengapa tradisi bernikah itu wujud di dalam semua agama? Hatta orang asli di dalam hutan juga memahami tuntutan ini. Inilah dikenali sebagai fitrah.
Golongan yang menentang fitrah ini sentiasa wujud di dalam kelompok minoriti. Kebanyakkanya sifat pemberontakkan ini wujud bukanlah disebabkan mereka mahu menentang Tuhan. Tetapi kebanyakkan mereka menganggap agama itu sebagai sebuah kompilasi khayalan manusia disebabkan banyak agama di dunia ini sudah dikaryakan oleh tangan-tangan manusia. Lalu mereka menganggap agama itu tidak logik.
Begitu juga di dalam sebahagian komuniti muslim, mereka memberontak menafikan kewujudan Tuhan bukanlah disebabkan mereka benar-benar beraqidah ateis. Kebanyakkan mereka dari golongan kritis, tetapi oleh kerana tidak memiliki disiplin dan method yang betul dalam memahami konsep Tuhan yang sebenar menyebabkan mereka tersasar dalam memahami keberadaan Tuhan. Ditambah pula, wujudnya sebahagian golongan agamawan yang kadang kala gemar membawa kisah-kisah pelik yang tidak ada sandaran agama (superstitious) lalu disandarkan kepada Islam, juga menjadi sumbangan kepada golongan muda yang berfikiran memberontak ini.
Sebenarnya di dalam diri manusia itu Tuhan telah jadikan suatu perasaan untuk merasakan kewujudan-Nya lebih-lebih lagi apabila seseorang manusia itu berada dalam kesusahan.
Ini kerana sifat manusia itu lebih mudah mengingati Tuhan dalam keadaan mereka susah berbanding senang, hal ini disebut dalam Al Quran :
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” (Yunus 10:12)
Team R&D MRM
Discussion about this post