Wallahua’lam, hakikatnya Allah yang Mengetahui lagi Maha Bijaksana dalam mengaturkan peraturan perjalanan zaman ini. Adapun terdapat beberapa hikmah dan perkara yang menarik yang kita boleh perolehi mengenai persoalan itu.
Pertama, tidak ada diantara kitab-kitab agama di dunia ini yang memiliki jaminan (di dalam ayatnya) dari Tuhan bahawa ia dijaga dan terpelihara selain dari kitab al Quran. Di dalam al Quran Allah menyebut yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)
Ini jaminan Allah di dalam al Quran dan tidak ada di dalam kitab-kitab lain. Malah jawapan secara komprehensif mengenai persoalan di atas ada disebutkan di dalam al Quran:
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.
Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.
Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al Maidah: 48)
Kedua, yang mengatakan kitab terdahulu diubah bukan sahaja disebutkan di dalam al Quran malah disebut juga di dalam Bible sendiri yang menyatakan:
“Berani betul kamu katakan bahawa kamu bijaksana dan mengetahui hukum-Ku (Taurat)! Lihatlah, hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama yang tidak jujur.” (Yeremia 8: 8)
Ketiga, di dalam kitab Bible tidak ada kata-kata “ALLAH akan menjaganya Bible atau ALLAH telah menurunkannya”. Bahkan di dalam Bible itu sendiri tidak memiliki perkataan ‘Bible’ kerana perkataan itu baru diperkenalkan dan dinamakan setelah selesai penghimpunan buku-buku para nabi Yahudi terdahulu dengan perjanjian baru (gospels) lalu dinamakan sebagai Biblos di dalam bahasa Greek yang bermaksud himpunan buku-buku.
Sikap Manusia Yang Mengubah Ajaran
Manusia sejak zaman berzaman memiliki fitrah keberagamaan kerana itulah tujuan manusia dan jin dijadikan. (1)
Disamping itu manusia juga memiliki inovasi keinginan tersendiri untuk menyembah Tuhan kerana didorong oleh fitrah tersebut. Demikian itu Allah mengutuskan para rasul untuk membawa wahyu sesuai dengan kehendak Allah di dalam mengatur kehidupan manusia. Allah juga menurunkan kitab-kitab kepada mereka sebagai garis panduan dalam beragama.(2)
Akan tetapi, oleh kerana manusia ini memiliki sikap tamak, tidak puas hati dan memiliki keinginan yang tidak baik dengan ajaran yang diturunkan maka mereka menentang dan mengubahnya. Sesuai dengan janji syaitan akan menyesatkan manusia. Sehingga Allah mengutus rasul dari satu zaman hingga ke zaman seterusnya untuk memperbetulkan semula ajaran terdahulu kerana sikap nabi dan rasul adalah mereka yang membawa tajdid dan islah ajaran Islam yang dibawa oleh rasul terdahulu.
Satu perkara yang perlu diketahui, manusia tidak boleh mencipta sebuah agama yang kompleks kecuali dengan mengambil cebisan-cebisan dan olahan wahyu yang Allah turunkan kepada kaum terdahulu. Dari itu, mereka mengubah dan mencipta ajaran baru. Oleh demikian, berkembang dan lahirlah kerosakkan hasil daripada kaum-kaum terdahulu. Lahirnya agama-agama baru yang mana sikap sesebuah agama ini mereka perlu memiliki kitab suci tersendiri sebagai identiti mereka.
Makanya, di sinilah sikap manusia menggubah kitab suci itu dengan kehendak mereka lalu merosakkan ajaran rasul mereka. Begitulah berlaku kepada Taurat dan Injil hasil daripada olahan tangan Rabbi dan Paderi mereka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai rasul (Muhammad)! Janganlah kamu disedihkan kerana mereka berlumba-lumba dalam kekafirannya. iaitu orang-orang (munafik) yang mengatakan dengan mulut mereka, “Kami telah beriman”, padahal hati mereka belum beriman; dan (juga) orang-orang Yahudi yang sangat suka mendengar (berita-berita) bohong dan sangat suka mendengar (perkataan-perkataan) orang lain yang belum pernah datang kepadamu. Mereka mengubah kata-kata (Taurat) dari makna yang sebenarnya.” (Surah al Maidah: 41)
“Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al-Kitab, padahal dia bukan dari Al-Kitab dan mereka mengatakan: “Ia (yang dibaca itu datang) dari sisi Allah, padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran: 78)
Sememangnya di dalam kitab terdahulu tidak ada jaminan Allah untuk menjaganya. Ia adalah hikmah dan rahmat Allah dalam mengatur alam ini, Allah telah tetapkan bahawa pada suatu hari nanti, sebuah kitab suci yang akan dijaga dan akan menjadi petunjuk manusia akhir zaman yang akan diturunkan oleh nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad membangunkan semula ajaran Islam yang telah dirosakkan oleh kaum terdahulu dengan diutusnya baginda di tanah Arab.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)
Menjawab persoalan mengapa al Quran ini satu-satunya kitab yang terjaga juga berkait rapat dengan aturan Allah memberhentikan utusan rasul sehingga Nabi Muhammad sahaja dan mengapa tidak ada rasul selepasnya.(3)
Analoginya kita memahami bahawa pokok balak atau pokok kelapa yang tinggi itu pun tidaklah akan meninggi sehingga ke puncak langit. Sampai satu tahap pokok-pokok itu ia akan terhenti dengan ketinggian yang ditetapkan. Begitu juga dengan kronologi para rasul akhirnya terhenti kepada yang melengkapkanya iaitu Nabi Muhammad SAW.
Ini kerana sudah tidak ada nabi selepas daripada baginda. Oleh itu, tidak ada lagi orang yang mendapat wahyu baru yang dapat membimbing manusia dan adalah tidak adil sekiranya Allah tidak menjaga kitab yang terakhir ini jika ia terus dirosakkan oleh tangan-tangan manusia. Nanti akan ada orang mempersoalkan pula, sekiranya al Quran sebagai kitab terakhir juga tidak terjaga maka harus apakah jaminan untuk mereka (generasi seterusnya) untuk beragama dengan kebenaran?
Itulah antara hikmah Allah menjaga al Quran, kerana sudah tidak ada rasul yang membawa wahyu selepas daripada Nabi Muhammad SAW. Sekiranya sebelum ini, andai terdapat golongan yang merosakkan agama maka diutuskan rasul seterusnya untuk mengislahkan semula kaumnya. Akan tetapi tidak pada akhir zaman kerana halnya sudah dilengkapkan oleh rasul terakhir.
Kronologi perjalanan para rasul ini sudah disusun dengan cantik. Nabi Muhammad adalah rasul terakhir dan menyempurnakan agama serta al Quran adalah satu-satunya kitab terakhir.(4) Ia membawa kepada pengajaran yang lengkap sikap manusia beragama (kaum terdahulu) untuk memberi pengajaran kepada manusia pada hari ini sehinggalah hari kiamat.
Jika dikatakan (andai) Allah menjaga kitab injil dan taurat juga itu merupakan rahmat Allah. Dan ditakdirkan kitab-kitab itu tidak terubah dan dijaga akan tetapi ia tetap juga akan dimansuhkan kerana Allah telah menurunkan aturan kitab yang terkini iaitu al Quran. Oleh itu manusia hendaklah mengikuti aturan Allah yang terkini.(5)
Analoginya sekiranya hari ini kita menumpang kereta, lalu ditahan oleh polis dan polis mendenda di atas kesalahan kerana tidak memakai tali pinggang keledar di bahagian belakang. Oleh itu adakah boleh sekiranya kita mengatakan alasan menggunakan undang-undang Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) sebelum pindaan 2008? Sudah tentu tidak boleh kerana undang-undang itu telah dimansuhkan pada tahun 2009 dan menjadi kesalahan sekira tidak memakainya. Walhal undang-undang ini digubal oleh pihak yang sama kerana ia mengambil kira situasi dan zaman.
Begitu juga dengan kitab-kitab Allah yang telah diturunkan, walaupun ditakdir kitab-kitab terdahulu terjaga sekali pun, pada hari ini ia tetap perlu merujuk kepada undang-undang terakhir itu manakala kitab-kitab terdahulu telah mansuh. Itulah aturan Allah sudah tentukan.
Malah antara sifat al Quran adalah ia membetulkan fakta-fakta yang telah diselewengkan oleh ahli kitab terdahulu. Umpamanya Bible menuduh Nabi Harun mencipta tuhan berhala lembu emas.(6) Akan tetapi Allah menegaskan bahawa yang mencipta lembu emas itu bukanlah Nabi Harun tetapi ia adalah Samiri.(7) Itulah antara sifat al Quran adalah menjernihkan tuduhan yang bathil terhadap nabi Allah.
Kesimpulan
Al Quran adalah satu-satunya kitab agama yang terpelihara sehingga ke hari ini. Oleh kerana sikap manusia yang gemar mengubah dan menokok tambah ajaran para rasul terdahulu menyebabkan kitab-kitab terdahulu diubah oleh tangan-tangan mereka. Malah apa yang dijanjikan Allah itu terbukti pada hari ini malah al Quran itu bukan sahaja dijaga dari segi penulisannya malah terjaga di dalam hati-hati para huffaz di seluruh dunia.
Wallahua’alam
Nota kaki:
(1) QS. Adz-Dzariyaat [51]: 56
(2) QS. Yunus [10]: 47 & QS Ali Imran [3]: 3
(3) QS. Al Ahzab [33]: 40 & hadis Bukhari 3271 serta Muslim No 4240:
Perumpamaanku dan para Nabi sebelumku seperti seseorang yang membangun suatu rumah lalu dia mempercantikanya dan memperindahnya kecuali ada satu labinah (tempat lubang batu bata yang tertinggal belum diselesaikan) yang berada di dinding samping rumah tersebut, lalu manusia mengelilinginya dan mereka kagum sambil berkata; ‘Seandainya ada orang yang meletakkan labinah (batu bata) di tempatnya ini maka sempurnalah ia”. Baginda bersabda: “Maka akulah labinah itu dan aku adalah penutup para Nabi”.
(4) QS al Maidah [5]: 3
(5) Takhrijh Mishkat al Masabih: no 1/136: Hadis Hasan
(6) Keluaran bab 32
(7) QS Thaahaa [20]: 85-94
Team R&D MRM
Discussion about this post