Hari Wesak merupakan hari perayaan di dalam agama Buddha. Tidak kira dari mana alirannya samada Mahayana atau Theravada, mereka akan merayakan perayaan Hari Wesak. Perayaan ini salah satu perayaan penting bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha yang lahir di Lumbini, Nepal, sekitar 563-483 SM. Siddharta Gautama Buddha merupakan tokoh penting di dalam agama Buddha. Selain Siddharta Gautama Buddha, mereka juga mengimani adanya Buddha-Buddha lain. Akan tetapi, Hari Wesak ini hanya khusus memperingati Siddharta Gautama sahaja.
Perkataan Wesak adalah berasal daripada perkataan Pali iaitu Vesakha. Manakala di dalam bahasa Sanskrit pula disebut sebagai Vaisakha. Vaisakha adalah nama bulan di dalam kalender Hindu yang mengisyaratkan masuknya bulan kelima.(1)
Menurut Ven. Dr. Madawela Punnaji di dalam bukunya The Philosophy of Vesak mengatakan di dalam kepercayaan Buddha, mereka melakukan perayaan di bulan ini sempena memperingati Siddharta Gautama Buddha sempena tiga perkara. Buddha dipercayai lahir pada purnama bulan Vesakha, beliau juga mendapat pencerahan agung dalam pertapaan dan beliau juga dikatakan meninggal di dalam bulan ini. Oleh itu, bulan ini dikira sangat penting bagi penganut Buddha untuk memperingatinya.(2)
Dengan kata lain, bagi memudahkan orang Islam Melayu memahaminya, ia adalah perayaan Maulid Buddha. Perkataan Maulid dalam bahasa arab bermaksud tempat atau waktu dilahirkan seseorang. Seperti mana di dalam Kristian, mereka juga ada hari memperingati kelahiran Jesus Christ pada 25 Disember (Krismas) dengan beranggap hari itu merupakan hari Jesus dilahirkan. Begitu juga terdapat sebahagian umat Islam yang merayakan Maulid kepada nabi Muhammad SAW pada 12 rabiul Awal dengan beranggap tarikh itu nabi Muhammad dilahirkan.(3)
Jika diperhatikan kepada semua sumber, pada zaman awal ketiga-tiga tokoh ini tidak pernah menganjurkan membuat perayaan bagi memperingatinya samada merayakan pada hari kelahirannya atau kematiannya. Akan tetapi, perayaan ini dilakukan oleh generasi seterusnya bagi memperingati tokoh-tokoh mereka.
Begitu juga di dalam perayaan Vesak. Sejarah memperingati Buddha pada bulan Vesakha bermula selepas kematian Siddharta Gautama Buddha dan perayaan ini ianya diselaraskan secara rasmi pada persidangan pertama World Fellowship of Buddhists di Sri Lanka pada tahun 1950. Mereka bersepakat untuk meraikan setiap kali purnama dalam bulan Mei.
Pada hari tersebut, para penganut Buddha akan menziarahi biara dan kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha. Mereka juga (khususnya Cina Buddha: Mahayana) akan berarak beramai-ramai sambil membawa seni hias berupa patung Buddha dan simbol berkaitan dengan Buddha di jalan raya pada malam Wesak. Antara simbol ikon yang dilambangkan kepada Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan benda peninggalan Buddha. Para penganut Buddha juga akan melafazkan Triratna iaitu tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha untuk memperbaharui azam mereka kepada ajaran Buddha.
Kebiasaan yang dapat dilihat pada perayaan Wesak ini mereka akan menyediakan hiasan dan simbol bunga teratai berwarna merah jambu. Teratai merah jambu ini dikira tahap tertinggi dan simbolik kesucian seseorang seperti Buddha dan dewa-dewi. Oleh itu bunga teratai simbolik kepada Buddha.
Kesimpulan
Pada 10 Mei 2017 merupakan hari Wesak dan ia merupakan hari cuti umum bagi semua negeri di Malaysia. Sebagai rakyat yang berbilang kaum, kita perlu mengenali sedikit latar belakang agama masing-masing agar dapat memupuk nilai keharmonian di antara penganut agama. Dan perayaan Wesak ini merupakan perayaan agama di dalam agama Buddha.
Wallahua’lam.
Nota Kaki:
(1) Lihat Ven. Dr. Madawela Punnaji, (2011). The Philisophy of Vesak, Sasana Abhiwurdhi Wardhana Society, Kuala Lumpur, hlm 3/ Di dalam bahasa Sri Lanka atau Sinhala menyebut hari Poya.
(2) Lihat Ibid
(3) Ulama Islam berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran nabi Muhammad, yang disepakati adalah pada 9 Rabiul Awal seperti dikemukakan oleh Syaikh shafiyyurrahman Al-Mubarakfuri di dalam kitab Sirah Nabawiyyah. Berkenaan kelahiran Jesus juga menjadi perdebatan kerana 25 Disember adalah musim sejuk sedangkan di dalam Bible menggambarkan sebaliknya. Lukas 2: 8 menceritakan pada hari Jesus dilahirkan terdapat pengembala kambing pada waktu malam dan tampak jelas bintang-bintang dilangit, itu petanda bukan musim sejuk. Malah ada yang berpandangan Jesus lahir anatara 8-4 Sebelum Masihi.
Pasukan R&D MRM
Discussion about this post