Kebanyakkan dikalangan kita pernah mendengar kisah asal usul iblis yang dikenali sebagai ‘Ketua Malaikat’ yang disebut sebagai Azazil. Dikatakan Azazil itu adalah ketua malaikat yang taat beribadah kepada Allah sehinggalah Allah mencipta nabi Adam sebagai khalifah di muka bumi ini. Lalu Allah memerintahkan agar malaikat sujud kepada Adam kecuali Iblis menolak dan dia menyombong diri serta memperendahkan Adam.
Terdapat beberapa perbincangan mengenai isu ini:
1) Azazil berasal dari dua perkataan ibrani gabungan dari kata ‘Azaz’ (kukuh) dan ‘El’ (tuhan).
2) Tidak ada sumber yang kuat dari teks agama (Taurat, Injil, al Quran dan Hadis) mengatakan nama iblis asalnya Azazil dan dia adalah ketua malaikat kecuali dari pendapat Ibnu Abbas.[1] Adapun perkataan Azazil terdapat di dalam Tanakh (Taurat) tetapi ia tidak mengisyaratkan kepada iblis.[2]
3) Adapun kebanyakkan ulama berpendapat Iblis bukanlah ketua malaikat kerana dia adalah sejenis Jin yang disebut di dalam al Quran yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Kami (Allah) berfirman kepada para Malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam!! Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim.” (QS. Al-Kahfi: 50)
Ayat ini jelas mengatakan Iblis adalah sejenis daripada Jin. Jin adalah makhluk yang dicipta dari api manakala malaikat pula dicipta dari cahaya:
“Dan Kami (Allah) ciptakan Jin sebelum (Adam) dari Api yang sangat panas” (QS. Al-Hijr: 27).
“Dan Dia menciptakan Jin dari nyala api” (QS, Ar-Rahman: 15)
“Saya lebih baik dari dari dia (Adam), saya diciptakan dari api sementara dia diciptakan dari tanah” (QS. Al-A’raf: 12)
Manakala di dalam hadits shahih dari Aisyah menyatakan kejadian jin dan malaikat tidak sama. Hadis yang bermaksud:
“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari api dan Adam diciptakan sebagaimana telah dijelaskan kepada kalian (dari tanah)” (Shahih Muslim no. 2996 dan Shahih Ibnu Hibban, no. 6155)
Ini jelas menunjukkan bahawa iblis adalah ciptaan dari api yang sama dengan jin. Dia bukanlah dari kalangan malaikat. Malah di dalam surah al Kahfi ayat 50 menyebut, Iblis juga memiliki keturunan dan anak beranak sedangkan malaikat tidak memiliki keturunan.
Akan tetapi sebelum Allah ciptakan Adam, Iblis adalah makhluk yang taat kepada perintah Allah seperti malaikat mentaati Allah. Akan tetapi disebabkan sifat hasad dan sombongnya menyebabkan dia tidak sujud hormat kepada Adam menyebabkan dia dilaknat oleh Allah.
Melek Taus Dalam Agama Yazdanisme
Yazdanisme adalah sebuah agama di Timur Tengah yang jarang dibincangkan. Ia adalah agama yang memiliki sinkretisme[3] dari amalan dan kepercayaan Yahudi, Kristian dan Islam. Agama ini memiliki tiga mazhab yang dikenali sebagai Yazidis, Yarsani, Ishikis. Mazhab Yazidis yang paling dominan. Mereka menyembah tuhan yang Esa dikenali sebagai Yazdan. Mereka mendiami di Utara Iraq, Syria dan Turki.
Golongan ini kebanyakkan adalah dari kalangan masyarakat Kurdhis. Di dalam kepercayaan mereka berkaitan dengan konsep Iblis ini memiliki sedikit persamaan dengan apa yang disebutkan di dalam al Quran.
Kisah Melek Taus
Aliran ini juga percaya kepada satu tuhan sebagai pencipta dunia ini, yang mana ia telah mengutuskan tujuh malaikat mereka untuk menjaga alam. Ketua malaikat yang mereka percaya adalah Melek Taus, yang dikenali sebagai Malaikat Merak. Kisah Melek Taus ini seakan kisah Iblis dan penciptaan nabi Adam versi di dalam al Quran.
Mereka percaya bahawa makhluk pertama yang dicipta oleh tuhan adalah Melek Taus dari dirinya sendiri (tuhan). Manakala enam malaikat lain pula dicipta setelah Melek Taus. tuhan memerintahkan kepada Melek Taus agar tidak tunduk kepada makhluk yang lain. Lalu tuhan menciptakan malaikat lain dan mengarahkan kepada mereka untuk membawa ‘Ax’ atau debu tanah dari bumi untuk mencipta tubuh Adam. Kemudian, tuhan memberikan kehidupan kepada Adam dari nafasnya sendiri dan mengarahkan kepada semua malaikat agar tunduk kepada Adam. Semua malaikat taat kecuali Melek Taus. Melek Taus berkata “Aku tidak boleh tunduk kepada makhluk lain! Aku adalah cahaya Kamu (tuhan) manakala Adam diperbuat daripada tanah.” Kemudian, tuhan memuji Taus Melek dan menjadikan dia sebagai pemimpin kepada semua malaikat.
Oleh demikian itu, Yazidis percaya bahawa Melek Taus adalah wakil Tuhan dan turun ke bumi pada setiap hari Rabu pertama dalam bulan Nisan (April). Yazidis percaya bahawa Tuhan telah menciptakan Melek Taus pada hari tersebut dan mereka menyambutnya sebagai hari Tahun Baru. Yazidis mengatakan bahawa perintah untuk tunduk kepada Adam hanyalah ujian kepada Melek Taus, kerana sebelum itu Tuhan telah memerintahkan agar tidak tunduk kepada mana-mana makhluk. Ini antara kepercayaan kepada Melek Taus atau malaikat merak dalam aliran Yazidis.
Penyembah Iblis?
Jika dilihat dari sudut kronologi penceritaan ini, ia adalah versi gubahan dari teks al Quran iaitu surah al Baqarah ayat 34. Akan tetapi versi di dalam Yazidis ini mereka mengubah kepada konsep Iblis itu kepada konsep malaikat Melek Taus yang diarah oleh tuhan supaya tidak menyembah mana-mana makhluk kerana dirinya itu suci.
Sebab itu terdapat sebahagian gerakkan di Iraq yang membunuh penganut Yazidis di atas alasan mereka penyembah Iblis. Jika dilihat di dalam world view yang digambarkan oleh al Quran ia berasas untuk mengatakan mereka itu penyembah iblis.Tetapi menghukum mereka dengan semborono sebagai penyembah iblis adalah tidak kena dengan konteks kepercayaan mereka.
Ini kerana mereka tidak beri’tiqad menyembah iblis tetapi mereka menganggap menyembah malaikat. Mereka juga memiliki versi iblis mereka tersendiri. Oleh demikian itu, konteks yang mereka imani adalah percaya menyembah malaikat dan bukan iblis.
Tidak dinafikan bahawa apa yang membawa kepada penyembahan Melek Taus ini adalah hasil daripada penyelewengan yang dibawa oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. Sepertimana sebahagian manusia menganggap salah seorang nabi sebagai anak tuhan. Mungkin ada yang mengatakan tidak logik sebuah agama boleh menyembah iblis. Sebenarnya adalah tidak logik lagi sekiranya ada manusia yang menyembah kubur dan tok sheikh mereka. Perbincangan soal ini bukan sekadar hitam atau putih. Tetapi ia perlulah diadili dari pelbagai sudut.
Akan tetapi tugas muslim adalah untuk menyampaikan kebenaran kepada manusia dan bukan menghukum.
Kesimpulan
Nama Azazil tidak memiliki sumber yang jelas untuk dikaitkan kepada Iblis. Manakala Iblis bukanlah dari jenis malaikat atau ketua malaikat akan tetapi dia adalah dari jenis Jin yang diperbuat dari api.
Terdapat agama yang menganggap ‘iblis’ sebagai ketua malaikat dikenali sebagai Melek Taus akan tetapi ia adalah sebuah kepercayaan yang sesat. Oleh itu, tugas sebagai muslim adalah terus menyampaikan kebenaran.
Nota kaki:
[1] Lihat Ibnu Katsir, (2013). Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, Jilid 1, hlm 214. Ia juga bersumberkan dari kisah Israliyyat.
[2] Azazil di dalam Taurat mengisyaratkan kambing yang dilepaskan oleh Harun dalam Imamat 16: 10.
[3] Sinkretisme (Syncretism ) adalah gabungan atau penyelarasan kepercayaan-kepercayaan yang berbeza.
Team R&D MRM
Discussion about this post