Manichaeisme adalah sebuah agama yang tumbuh di Parsi pada abad ke-3 M. Ia diasaskan oleh seorang berbangsa Parsi bernama Mani dan juga disebut Manichaeus atau Manes yang lahir pada 216-276 M pada zaman Empayar Sasanid. Agama ini adalah hasil daripada pengaruh yang pelbagai seperti gerakan Babylonian-Aramaic (sebuah gerakan seperti Mazdanisme), Hindu, Yahudi, Kristian, Elcesaites dan tulisan-tulisan keagamaan yang ada di Parsi.
Agama ini juga hasil daripada sinkretis daripada agama Zoroaster di Parsi. Ini kerana beliau mengajar mengenai dualisme yang menggambarkan perjuangan di antara dunia rohani yang baik (cahaya) dengan dunia jahat (dunia material dan kegelapan). Ia adalah hasi pengaruh daripada konsep Ahuramazda dan juga Ahriman di dalam Zoroaster.
Manichaeisme berkembang pesat di antara abad ketiga hingga abad ketujuh dan di kemuncaknya, ia membentuk salah satu agama yang paling meluas di dunia. Gereja-gereja Manicheaisme dan kitab-kitab mereka telah sampai sejauh timur China dan juga telah sampai di barat di bawah Empayar Rom.
Manichaeisme telah menjadi saingan sengit kepada agama Kristian yang juga sedang pesat berkembang pada ketika itu. Sebab itulah dalam perjalanan sejarah, agama Manichaes bertahan lebih lama di Timur berbanding di Barat. Akhirnya selepas abad ke-14 M, agama ini turut merundum jatuh di selatan China.
Komentar
Agama Manichaeisme juga diketegorikan sebagai agama sinkretis kerana ia memiliki pelbagai pengaruh daripada agama lain dan juga tulisan-tulisan spiritual di Babilon. Ianya adalah sebuah agama yang cepat tersebar dan cepat pupus. Tidak dinafikan perkembangan awal agama ini begitu hebat. Ia berkembang di timur dan barat hanya dalam masa yang singkat. Ia diketegorikan sebagai salah satu agama yang terbesar suatu ketika dahulu.
Oleh disebabkan penentangan kepada agama Manichaeisme juga begitu hebat menyebabkan ianya merosak dengan teruk kerana mereka berdepan dengan perkembangan Kristian dan juga Islam.
Islam dan Kristian pada abad ke-7 hingga abad ke-13 sedang berkembang dengan pesat sehingga menenggelamkan tradisi Manichaeisme di timur dan barat.
Sebagai contoh, di Barat terdapat seorang paderi Kristian bernama Saint Augustine yang asalnya beliau menganut agama Manichaeisme selama sembilan tahun. Oleh kerana tekanan dari pihak Kristian di Barat, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan agama lamanya dan menganut Kristian. Setelah itu beliau banyak mengkritik hebat agama lamanya. Beliau dianggap orang yang bertanggungjawab yang mengkritik dan menjatuhkan fahaman Manichaeisme di Barat. Beliau banyak menulis mengenai gerakan agamanya dahulu malah turut memperlekehkan Mani di dalam bukunya. Tulisan beliau terdapat dalam himpunan buku The Manichean Debate.
Adapaun Ibnu Hazm al-Andalusi di dalam bukunya al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal mengkelaskan agama ini sebagai agama ahli kitab dan memberi kemungkinan bahawa Mani adalah seorang nabi. Hasil pemerhatian kami melihat cara pembawakan Mani adalah lebih bersifat sinkretisme dan agama seperti itu bukanlah dari ajaran wahyu. Tidak semua tokoh agama sebelum nabi Muhammad itu adalah nabi atau rasul kerana realiti pada hari ini tanpa wahyu pun manusia tetap mencipta agama palsu dan sikap ini juga sentiasa wujud dari zaman berzaman.
Nota kaki:
(1) Lihat Michael H. Hart, (1992). The 100: A Ranking of The Most Influential Persons In History, Citadel Press, New York, hlm 410
(2) Ibid
(3) Ibid
(4) Ibid hlm 411
(5) Lihat John Kevin Coyle, (2009). Manichaeism and Its Legacy, Brill, Boston, hlm 42
(6) Lihat Duncan Greenless , (2007). The Gospel of The Prophet Mani, The Book of Tree, San Diego, California, hlm 158
(7) Lihat Ibid hlm 157-180.
Pasukan R&D MRM
Discussion about this post