Situasi semasa di Perancis memang sudah pun kacau bilau, dan Emmanuel Macron lebih memburukkan kekacaubilauan tersebut. Bagaikan tikus membaiki labu; itulah Macron.
Anda harus faham, Perancis tidaklah seperti kita di Malaysia; adanya institusi raja berperlembagaan & agama Islam sebagai agama persekutuan. Di Perancis, mereka dengan bangganya berpegang erat pegangan institusi mereka iaitu sekularisma Laicité. Laicité secara bahasanya juga bermaksud sekular dan mereka mengatakan bahawa sekularisma yang sebenar dan asli berasal dari Perancis.

Sekularisma Perancis ini bermula pada abad ke-18; abad ‘Enlightment’ Perancis. Ianya memperjuangkan hak kesamarataan (equality), kebebasan individu. Ia memisahkan gereja dan keagamaan daripada urusan kenegaraan. Akhirnya pada 1905, Laicité menjadi rasmi dalam undang-undang mereka.
Secara mudahnya, laicité ialah pemisahan politk dan keagamaan. Agama tidak boleh masuk campur urusan politik dan politik tidak boleh masuk campur urusan agama.
Menurut mereka, Republik Perancis mempunyai perlembagaan dan petadbiran yang neutral kepada agama. Untuk mudah difahami, Perancis ialah ‘zon tiada Tuhan’. Berbeza dengan negara lain, seperti Amerika Syarikat contohnya, mereka mengamalkan sekularisma tetapi tetap adanya bacaan doa kristian di dalam kongress, ketika angkat sumpah di mahkamah masih menggunakan Bible, bahkan motto nasional mereka ialah ‘In God we Trust’. Di Perancis, mereka memang neutral tanpa pengaruh agama walaupun sedikit dalam politik. Namun begitu, mereka tetap meraikan hak kebebasan beragama, oleh itu kita boleh lihat dengan adanya cuti umum perayaan Krismas, kelahiran Mary, All Soul’s Day, Ester Day dan lain-lain. Sebagai penegasan, Laicité ialah sekularisma yang ekstrim ; mereka mengehadkan pengamalan agama hanya di ruangan peribadi dan khusus, seperti di masjid, gereja, rumah dan di ruang khusus yang lain. Pengamalan agama tidak boleh sama sekali dibawa ke tempat awam atau terbuka.
Pekerja di Perancis juga diharamkan untuk mempamerkan simbol-simbol keagamaan ketika waktu kerja. Sehinggakan penggunaan hijab bagi Muslim juga tidak boleh kerana dikira sebagai simbol keagamaan. Namun begitu, rantai salib yang menjadi simbol agama Kristian, serban sikh serta topi yahudi juga tidak dibenarkan. Ianya satu undang-undang yang wajib dipatuhi. Anda boleh rujuk 1905 French law on the Separation of the Churches and the State.
Bagi Perancis, Laicité di Perancis terancam dengan kehadiran muslim. Bahkan, 76% orang di Perancis berpendapat bahawa Islam ialah sebuah masalah[1].
Di sini anda harus faham bahawa prinsip Laicité inilah yang menjadi laungan dan slogan utama mereka untuk menjustifikasikan tindakan untuk menghina Nabi Muhammad, kerana mereka neutral kepada keagamaan. Bagi mereka ianya ialah kebebasan untuk bersuara dan berekspresi (Freedom of speech & expression).
Persoalannya, benarkah ianya freedom of speech & expression?
Ternyata tidak!
Ianya ialah satu kempen Islamofobia yang bertopengkan nama Laicité serta freedom of speech & expression. Mereka menggunakan satu peristiwa pembunuhan sebagai satu senjata utama untuk menjalankan kempen Islamofobia yang menghina Nabi Muhammad secara terbuka.
Apakah benar adanya Laicité neutral serta freedom of speech & expressions untuk rakyat Muslim di Perancis seperti yang digembar-gemburkan?
Sudah pasti tidak!
Ketika isu soladiriti ini, mereka menutup masjid-masjid, sekolah-sekolah Muslim serta kedai-kedai milik muslim. Mereka menutup NGO-NGO Islamik. Siapa yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka kepada komuniti Muslim di sana, akan ditahan polis. Semua kekejaman ini dilakukan atas nama ‘memerangi terorisma Islamis’ kononnya.
Sebelum isu solidariti yang terbaru ini, muslim yang mempunyai passport rakyat Perancis juga didiskriminasikan oleh mereka. Mereka tidak mendapat kualiti pendidikan yang sama, bahkan peluang pekerjaan juga turut didiskriminasikan.
Antara kes sebenar yang berlaku di Perancis[2],
1. Seorang pelajar sekolah rendah telah membaca bismillah sebelum makan, kemudian ada orang pergi melaporkan kepada pihak sekolah. Sedangkan membaca ‘bismillah’ hanyalah amalan keagamaan persendirian sebagai seorang Muslim.
2. Seorang pelajar sekolah pergi ke sekolah dengan hijab, kemudian orang mengatakan buka hijab tersebut daripada kepala atau dia akan dibuang sekolah.
3. Peluang pekerjaan yang sering ditolak, dengan alasan bahawa muslim berbangsa arab dan berkulit hitam yang memohon itu tidak kompeten. Mereka membuat diskriminasi secara senyap dengan memberi alasan tidak kompeten sedangkan kesemua yang ditolak itu berbangsa arab dan berkulit hitam. Inilah racism yang sistematik dan secara senyap.
4. Kerajaan mereka menghalang pelantikan muslim di dalam pelbagai institusi kerajaan walaupun mereka mempunyai kelayakan dan kompeten yang cemerlang. Sedangkan lebih daripada 6 juta rakyat Perancis beragama Islam.
5. Kualiti kehidupan juga berbeza, antara contohnya seperti di kawasan ramainya muslim mempunyai standard pembersihan jalan raya yang berbeza dengan kawasan utama.
6. Polis akan selalu menahan dan memeriksa kad pengenalan yang berbangsa Arab dan orang berkulit gelap walaupun sudah mengenali mereka sejak daripada kecil,
7. Ada konsep citizen & foreign-citizen. Adanya pilih kasih yang ketara dan mengutamakan rakyat yang bukan Muslim; Arab dan berkulit gelap. Rakyat yang berdarah arab, berkulit gelap perlulah melalui kedutaan Algeria, Morocco dan lain-lain walaupun mereka merupakan rakyat Perancis yang mempunyai passport Perancis. Hal ini kerana mereka Muslim yang menjadi foreign-citizen.[3]
Bahkan muslim yang mewakili suara komuniti muslim di Perancis juga dipilih oleh pihak mereka sendiri; siapa yang menyokong prinsip kerajaan akan dipilih oleh mereka sebagai wakil muslim, manakala siapa yang kritik dan membangkang mereka akan diketepikan dan diabaikan. Adakah ini free of speech & expression?
Mereka tidak mendiskriminasikan muslim secara terbuka dengan kata-kata kotor seperti ‘Kau muslim, arab dan orang berkulit hitam yang menyusahkan kami di Perancis! Syukurlah kau boleh hidup di Perancis’, sebaliknya mereka menyaluti dengan kata-kata baik seperti, ‘Kami perlu menguatkan lagi prinsip Laicité di Perancis ini.’
Konklusinya, Laicité telah menjadi senjata utama untuk ‘menyerang’ komuniti muslim di Perancis. Muslim dan agama Islam menjadi mangsa stigma dan diskriminasi atas nama Laicité.
Oleh itu, bersatulah kita semua Muslim di seluruh dunia untuk mempertahankan hak rakyat Perancis yang segama, seaqidah dengan kita.
[1] Statistik ini dikongsikan oleh Dr. Tariq Ramadhan di dalam perbincangannya, https://youtu.be/wU0o9BAomMg
[2] Perkongsian kes sebenar yang berlaku di Perancis ini dikongsikan oleh seorang aktivis CCIF di Perancis, Marwan Muhammad, https://youtu.be/leurt0iFsM4
[3] Dikongsikan oleh Dr. Tariq Ramadhan di dalam perbincangannya, https://youtu.be/wU0o9BAomMg
Discussion about this post