Berapa ramaikah Muslim di Perancis?
Mengikut statistik[1], terdapat 8.8% Muslim di Perancis, iaitu sebanyak 5.75 juta muslim pada 2017, manakala pada 2020 terdapat lebih daripada 6 juta dan ianya hampir 10% daripada keseluruhan rakyat Perancis. Boleh dikatakan 1 per 10 daripada rakyat Perancis beragama Islam. Sebenarnya, Perancis mempunyai peratusan muslim paling tinggi di seluruh dunia barat!
[1] Statistik dari Pew Research

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan krisis yang sedang dihadapi oleh Muslim di Perancis.
Apa khabar saudara seagama, seaqidah kita di Perancis sana?
Ianya satu soalan yang wajib dilontarkan ke dalam hati kita tatkala mendengar berita tentang krisis yang sedang berlaku di Perancis. Mengapa saya katakan ianya satu soalan yang wajib? Ayuh kita sama-sama telusuri hadis baginda di dalam Sahih Bukhari;
لَا يُؤْمِنُ أحَدُكُمْ، حتَّى يُحِبَّ لأخِيهِ ما يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak beriman seseorang itu jika dia tidak mencintai untuk saudaranya, seperti apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
Indah bukan hadis ini? Ulama ketika membahas hadis ini menerangkan bahawa dengan hilangnya rasa cinta tersebut kepada saudara sesama muslim, bererti hilanglah kesempurnaan iman seseorang itu.
Maka sebenarnya, apakah kita sudah cukup sensitif dan ambil tahu tentang isu yang berlaku di Perancis baru-baru ini secara keseluruhan atau kita hanya ambil tahu sebahagian sahaja?
Alhamdulillah dan tahniah sekiranya anda sudah tahu isunya secara keseluruhan. Tetapi itu tidak cukup memadai, kita sebagai muslim perlulah melakukan tindakan sebagai amal ibadat & tanggungjawab kepada saudara seagama kita di Perancis.
Kita akan membincangkan berkenaan tindakan yang perlu kita lakukan sebagai seorang Muslim.
1. Kita kena pastikan perkara ini tidak terjadi kepada negara kita sendiri dan tidak menimpa mana-mana saudara seagama kita di negara lain. Pertahankanlah dan perjuangkanlah agama ini dengan sepenuh jiwa dan raga.
2. Sebarkan perkara ini kepada seramai mungkin agar orang ramai tahu bahawa strategi musuh-musuh Islam sangat licik dan jahat.
3. Libatkanlah diri dalam persatuan yang mempertahankan dan memperjuangkan Islam. Teruskan berdakwah dan sedarkan lebih ramai Muslim. Walaupun sumbangan kita kecil, tetapi sekiranya ikhlas ianya akan tetap mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
4. Libatkanlah diri dalam politik dengan penuh keimanan dan ketaqwaan tanpa mengharapkan keduniaan yang melampau. Jadikan politik sebagai wasilah untuk meninggikan agama Islam, bukannya untuk meninggikan timbunan duit di dalam dompet.
5. Lawanlah kemungkaran dengan taktik dan strategi. Pastikan berpandukan syariah dan hikmah. Janganlah ikut emosi dan nafsu. Buktikan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ini Rahmatan lil Álamin.
6. Apabila memegang tampuk kepimpinan sesebuah negara Islam, maka perlulah menjadi tegas dan berprinsip sepertimana yang ditunjukkan oleh Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdogan yang berani mempertahankan Islam dan Muslim. Bersuaralah, jangan senyap tatkala ada agama dan saudara seaqidah kita dipijak musuh Islam.
7. Boikot barangan Perancis. Adakah boikot produk daripada Perancis dikira sebagai tindakan yang baik dan apakah ianya dibenarkan dalam Islam?
Boikot ialah sebuah taktik, bukan matlamat utama. Boikot ekonomi mereka ialah sebagai taktik yang digunakan untuk mencapai matlamat utama. Boikot yang sedang dijalankan ini ialah sebuah solidariti ke atas penghinaan kepada Nabi Muhammad oleh Presiden Perancis yang dimulakan oleh Presiden Turkey.
Taktik ini halal dan dibenarkan dalam Islam, sekiranya dilakukan dengan cara yang betul. Janganlah boikot membuta tuli tanpa menyelidiki kebenaran produk atau jenama yang diboikot itu, kerana dikhuatiri menzalimi hak orang lain yang tidak bersalah. Janganlah buat perkara yang baik dengan cara yang berdosa. Semoga kita yang boikot demi bersolidariti dan mempertahankan agama kita ini diterima oleh Allah sebagai amalan yang ikhlas.
Sebagai penutup dalam artikel ini, ingin sekali untuk saya kongsikan satu sirah dalam catatan kisah Nabi Muhammad kepada anda.
Kisah tentang beberapa orang sahabat yang telah dihantar untuk mengintip gerak-geri Quraysh lalu telah membunuh beberapa orang Quraysh ketika bulan Rejab; bulan haramnya untuk berperang. Mereka terpaksa untuk berperang kerana kedudukan pengintipan mereka telah diketahui oleh orang Quraysh tersebut. Ialah bukanlah satu peperangan dan pembunuhan yang dirancang, tetapi ianya berlaku secara tidak sengaja.
Tersebarlah berita Abdullah bin Jahsy telah membunuh Amr bin al-Hadhrami.
Setelah berita ini tersebar, orang Quraysh melancarkan kempen menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dengan mengatakan, ‘Muhammad mengizinkan perang di bulan mulia’, ‘Dia telah membunuh dengan cara yang terlarang’.
Orang Quraysh menjadikan satu isu oleh seorang Muslim, menjadi satu kempen menghina seluruh umat Islam terutamanya Rasulullah. Bukankah ianya persis seperti apa yang sedang dilakukan oleh Emmanuel Macron?
Kemudian turunlah ayat di dalam surah al-Baqarah, ayat ke-217:
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍۢ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌۭ فِيهِ كَبِيرٌۭ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفْرٌۢ بِهِۦ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِوَإِخْرَاجُ أَهْلِهِۦ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۗ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati).”
Ayat ini menerangkan bahawa memang berperang dalam bulan haram adalah dosa besar. Tetapi Allah menyebutkan dosa-dosa orang Quraysh yang lebih besar daripada satu kesalahan yang mereka hina dan keji dalam kempen mereka itu; mereka menghalang manusia dari masuk Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul, menyeksa orang yang telah beriman dan berusaha untuk memurtadkan kaum Muslim yang sudah pun beriman. Kekufuran yang mereka lakukan itu terjadi pada bulan-bulan haram dan di tanah haram. Mereka juga mengusir keluar Nabi dan para sahabat daripada Masjidil Haram.
Semua keburukan dan kesalahan yang orang Quraysh itu lakukan “lebih besar dosanya daripada membunuh”. Itulah apa yang Allah katakan di dalam ayat tersebut. Sebuah tamparan yang besar kepada orang Quraysh. Mereka berkempen dan menghina Nabi Muhammad serta umat Islam hanya kerana 1 kesalahan yang sememangnya salah, tetapi mereka lupa akan kesalahan dan dosa-dosa besar yang mereka buat, dan ianya lebih teruk dan hina daripada segala hinaan dan celaan yang mereka lontarkan kepada Muslim.
Perasan atau tidak, ianya persis dengan isu yang sedang kita bincangkan ini bukan?
Allah turut menjelaskan, mengapakah musuh-musuh Islam ini sanggup membuat perkara-perkara seperti ini? Kenapa mereka bersungguh-sungguh ingin berkempen menghina dan mencela Rasulullah dan agama Islam?
Allah menjawab persoalan ini. Dalam ayat yang sama, Allah mengatakan:
وَلَا يَزَالُونَ يُقَـٰتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ ٱسْتَطَـٰعُوا۟ ۚ
“Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sampai kamu murtad (keluar) dari agamamu, jika mereka sanggup”
Konklusinya, musuh-musuh Islam akan mempunyai objektif yang sama, iaitu Muslim meninggalkan pegangan kepada agama Islam sebagai panduan dan petunjuk kehidupan. Adakah kita masih berpegang dengan ajaran al-Quran dan Sunnah dengan gigi geraham kita?
Kepada Perancis, satu mesej yang ingin saya sampaikan:
Ingatlah wahai Perancis, anda telah menjadi juara bola sepak dalam World Cup 2018. Adakah hanya ada Kristian di dalam skuad itu? Adakah hanya ada Yahudi di dalamnya? Atau sebenarnya adanya diversiti dan pelbagai kaum dan agama di dalam skuad kemenangan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Perancis?
Ya, adanya Muslim, Kristian dan Yahudi di dalam skuad kebanggaan dan kecintaan seluruh rakyat Perancis.
Maka mengapa tidak boleh seluruh Perancis menerima Muslim di dalam komuniti sebagai satu ikatan kenegaraan yang padu tanpa adanya stigma dan diskriminasi sepertimana kalian semua boleh menerima skuad kejuaraan World Cup 2018 yang adanya Muslim di dalamnya?
Kepada 1.8 Billion Muslim sedunia,
Janganlah berpecah belah,
Bersatulah atas nama cintakan Allah & Rasulullah.
Discussion about this post