Baru-baru ini hangat diperbincangkan tentang isu di Perancis.
Mungkin ada di antara kita tahu tentang pembunuhan seorang guru bernama Samuel Paty oleh seorang muslimberumur 18 tahun, lalu Perancis melancarkan solidariti yang melibatkan penghinaan kepada Nabi Muhammad. Adakah kita hanya tahu tentang penghinaan Presiden Perancis, Emmanuel Macron kepada Nabi Muhammad, lalu dengan marahnya kita terus ikut trend untuk memboikot produk dari Perancis?

Sekiranya kita terima bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh media massa di Malaysia dan di barat semata, tanpa memahami secara menyeluruh, maka kita akan rugi. Di sini saya tunjukkan bagaimana media barat, BBC mengecilkan skop dan gambaran isu di Perancis dengan melaporkan kejadian pemboikotan Perancis di portal mereka[1]:
‘Ianya boikot kepada semua barangan Perancis, yang dimulakan oleh Presiden Turkey, Erdogan. Ianya bermula kerana Presiden Perancis memberi janji dan jaminan untuk mempertahankan sekularisma negaranya daripada Islam Radikal dan akan mempertahankan penerbitan kartun penghinaan Nabi Muhammad kerana ianya sebagai solidariti kepada seorang guru yang dibunuh oleh seorang Muslim setelah guru tersebut menunjukkan kartun lukisan yang menghina Nabi Muhammad di dalam kelas.’
Kemudian mereka menunjukkan kedai-kedai di negara Islam seperti Qatar, Jordan yang menutup bahagian kosmetik dari Perancis seperti Loreal & Garnier dengan mengatakan ‘In Solidarity with Prophet Muhammad’.
BBC turut menayangkan pendapat seorang lelaki dari Paris di akhir laporan, yang mengatakan bahawa orang yang memboikot Perancis ini telah tersalah faham dengan kenyataan Presiden Perancis. Dia mengatakan bahawa Macron tidaklah menyokong kartun Nabi Muhammad, tetapi dia hanya bersetuju dan mempertahankan hak penerbitan kartun Nabi Muhammad. (Sungguh kelakar ulasan mengarut lelaki yang ingin menyokong Macron ini, analogi untuk menjelaskan lagi kepeningan dia dan Macron ialah seperti yang berikut: ‘Saya tidak menyokong budaya seks bebas, tetapi saya menyokong hak kelab malam itu untuk menganjurkan seks bebas’. Katanya tidak sokong, tetapi hakikatnya menyokong.)
Tamat di situ sahaja skop laporannya dan kita pun memahami isu pemboikotan Perancis hanya seputar di situ sahaja. Seakan-akan Emmanuel Macron ini seorang superhero yang mempertahankan rakyat Perancis dan bersolidariti atas kematian seorang guru walaupun caranya agresif dan menghina agama kita.
Sungguh, bukan itu sahaja isunya. Bukan setakat itu sahaja! Ada gambaran yang lebih besar yang harus kita lihat. Selepas penerangan panjang lebar ini, sudah pasti anda akan terkejut akan licik dan jahatnya musuh-musuh Islam di Eropah, dan antara jutaan kejahatan mereka dapatlah kita lihat salah satunya di dalam isu di Perancis sekarang ini.
Ingin sekali untuk saya jelaskan pendirian kita sebagai seorang Muslim berkenaan pembunuhan seorang guru yang telah menghina Nabi Muhammad.
Sudah pasti 100% muktamad bahawa perbuatan menghina Nabi Muhammad ialah perbuatan salah dan mungkar. Namun begitu, ianya tidak akan menjustifikasikan pembunuhan guru tersebut. Perbuatan seorang muslim membunuh seorang non-muslim yang menghina Nabi di dalam negara yang tidak mengamalkan syariat Islam sebagai agama rasmi ialah sebuah kesalahan dan tidak sepatutnya berulang lagi. Tidak boleh bagi seorang anak muda yang membaca buku fiqh tanpa kesahihan dan tanpa memahami konteks untuk terus membuat sesuatu atas nama jihad secara semberono.
Prinsipnya ialah; perbuatan yang berdosa tidak menjustifikasikan reaksi respons yang berdosa. Respons kepada tindakan yang salah tidak boleh dengan reaksi tindak balas yang salah.
Kita harus jelas bahawa tindakan pembunuhan guru itu salah dan bukan dari Islam. Kita tidak mengiktiraf perbuatan pemuda muslim tersebut. Namun dengan menggunakan prinsip yang sama, ‘respons kepada tindakan yang salah tidak boleh dengan reaksi tindak balas yang salah’ turut sama digunakan kepada Emmanuel Macron. Perbuatan membunuh seorang guru itu memanglah salah, tetapi tidak sama sekali menjustifikasikan perbuatannya untuk bersolidariti yang melibatkan penghinaan kepada 1.8 billion manusia yang beragama Islam di seluruh dunia.
Adakah logik untuk akal seorang manusia yang normal untuk menjatuhkan hukuman dan hinaan kepada 1.8 billion umat Islam di seluruh dunia hanya kerana 1 jenayah yang dilakukan oleh seorang muslim?
Adakah Macron bersetuju jika kita hina seluruh 67 juta rakyat Perancis hanya kerana seorang pemuda di Perancis yang merompak bank? Sudah pasti tidak!
____
Sebenarnya, Perancis yang didalangi Macron sedang menunggang Laicité serta freedom of speech & expression untuk kepentingan peribadinya sebagai seorang Presiden yang terdesak.
Kita harus lihat dan analisa bagaimana isu di Perancis vs Muslim ini bermula. Ianya tidak berlaku secara tiba-tiba; tiba-tiba seorang guru yang menghina Nabi dibunuh seorang muslim lalu Presiden Perancis bersolidariti atas kematiannya dengan turut menghina Nabi. Ianya tidak semudah dan seringkas itu.
Kita lihat dahulu konteks Macron sebagai seorang Presiden Perancis yang terdesak kerana kerana pilihan raya presiden Perancis semakin hampir dan Macron tidak ada pencapaian yang memberikannya kredit yang cemerlang sebagai seorang pemimpin yang baik secara keseluruhan di mata rakyatnya, sebaliknya terlalu banyak keburukan dan kemusnahan di dalam Perancis ketika di bawah kekuasaannya.
Bahkan ketika pilihan raya tempatan di Perancis, Macron telah kalah dengan teruknya di pusingan ke-2. Ini menjadi indikator yang sangat jelas bahawa rakyat Perancis telah muak dengan Macron sebagai Presiden mereka.
Antara isu buruk yang berlaku di Perancis semasa pentadbiran Emmanuel Macron:
1. Polisi domestik dan luar negara yang gagal.
2. Reformasi sistem pencen.
3. Harga minyak yang naik secara melampau.
4. Keganasan polis.
5. Pengangguran yang tinggi.
6. Pengurusan pandemik Covid-19 yang gagal.
Jika dirangkumkan kesemua isu di atas, ianya menghasilkan situasi yang terdesak yang mencengkam Macron. Sokongan rakyat kepadanya semakin merudum dan jatuh. Dia terdesak dan tidak mempunyai cara lain untuk meningkatkan popularitinya untuk memenangi pilihan raya presiden Perancis yang akan mendatang.
Maka strategi yang sedang digunakan sekarang ialah dengan membuat pengalihan isu daripada seorang yang gagal untuk kompeten sebagai seorang pemimpin negara kepada seorang hero yang hebat, bersolidariti dan mempertahankan rakyat Perancis daripada ‘ancaman Islam’ kononnya. Kerana dia tahu bahawa majoriti rakyatnya merasakan Laicité di Perancis terancam dengan kehadiran muslim. Bahkan, 76% orang di Perancis berpendapat bahawa Islam ialah sebuah masalah. 76% tidak menyukai dan membenci muslim. Maka dengan melancarkan peperangan dalaman kepada komuniti Muslim akan menaikkan populariti dan sokongan rakyat kepadanya. Ini juga penting untuk mendapat sokongan daripada pihak sayap kanan. Sekarang, dia akan dilihat sebagai hero rakyat.
Ayuh kita lihat kronologi strategi kempen Islamophobia yang sedang dijalankan olehnya.
Pada tarikh 2 Oktober 2020, Presiden Macron mengeluarkan satu kenyataan, “Islam ialah agama yang sedang mengalami krisis di seluruh dunia pada hari ini.”. Dia juga turut mengatakan, “Kami tidak hanya lihat krisis ini di negara kami sahaja”,
Dia menyerang Islam secara terbuka, tanpa menggunakan istilah-istilah seperti ‘terorisma’, ‘radikal’, dan istilah yang lainya. Ianya ialah satu kenyataan terbuka yang terus ditujukan kepada agama Islam. Bagaimana mungkin seorang pemimpin sesebuah negara sanggup mengeluarkan kenyataan menghina agama yang dianuti oleh 1 per 10 daripada rakyat negaranya?
Pada 16 Oktober, terjadinya peristiwa pembunuhan guru oleh seorang Muslim. Dengan pantasnya Macron terus menjadikan isu ini sebagai peluru utama untuk senjatanya dalam menjayakan kempen Islamofobia secara terbuka.
Mereka sedang menanti untuk adanya isu terorisma yang melibatkan Muslim untuk mengibliskan agama Islam secara keseluruhannya! Sedangkan apabila adanya terorisma yang melibatkan penganut agama lain, mereka tidak akan mengaitkan agama si pelaku terorisma itu. Contohnya seperti tragedi Christchurch yang melibatkan pembunuhan muslim secara beramai-ramai.
Jika kita mengambil iktibar daripada sejarah, kita akan lihat strategi jahat yang sedang digunapakai oleh Emmanuel Macron amatlah persis seperti strategi Hitler di German. Macron sedang mengikuti langkah-langkah yang telah dilakukan Nazi pada 100 tahun yang lalu.
Strateginya ialah dengan mewujudkan stigma kepada golongan minoriti di dalam sebuah komuniti yang bercakap bahasa lain, berpakaian budaya lain, beragama lain lalu menyebarkan kepercayaan bahawa kecelakaan dan malapetaka kepada komuniti tersebut ialah berpunca daripada golongan minoriti yang telah distigmakan.
Begitulah apa yang dilakukan oleh Nazi di German, mereka mengatakan sekiranya kita boleh selesaikan isu kewujudan minoriti orang-orang Yahudi ini dari German, maka mereka akan mendapat kejayaan dan kemenangan. Oleh itu, peristiwa-peristiwa tragedi yang melibatkan pembunuhan orang politik, pengeboman dan pelbagai lagi isu terorisma di German disabitkan kepada komuniti Yahudi lalu akhirnya Nazi menjadikan diri mereka sebagai hero yang menyelamatkan German daripada malapetaka dan kecelakaan komuniti Yahudi. Mereka menanamkan kebencian orang ramai di German untuk membenci golongan minoriti ini.
Tidakkah kita lihat strategi ini juga sedang dilakukan oleh Perancis kepada Muslim yang menjadi minoriti di sana?
Ada satu perspektif daripada sejarah yang menarik untuk kita telusuri; Perancis sekarang cuba untuk menyemarakkan semangat Islamophobia dengan menyebarkan persepsi bahawa Islam ialah sebuah agama yang kejam dan teroris. Tetapi mereka terlupa untuk melihat sejarah adanya ramai Muslim di negara Perancis adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri.
Mereka harus lihat betapa teruk dan zalimnya ‘terorisma’ mereka di dalam sejarah penjajahan mereka kepada negara Algeria, Senegal, Moroco dan lain-lain. Disebakan penjajahan inilah ada ramai Muslim di sana yang dijadikan sebagai pekerja buruh untuk membina semula Perancis setelah Perang Dunia Ke-2. Penjajahan ini bukannya mengambil masa beberapa tahun, tetapi ianya berlangsung selama 132 tahun; tahun 1830 hingga 1962. Sejarah juga menyaksikan ‘terorisma pembunuhan beramai-ramai’ di Algeria yang didalangi oleh Perancis. Anggaran orang yang terbunuh dalam tragedi ‘terorisma Perancis’ itu dalam anggaran lebih lebih daripada 1 juta orang. Apakah Perancis lupa untuk toleh ke belakang dan muhasabah sejarah sendiri sebelum menuduh rakyat Muslimnya sendiri yang terorisma dan radikal?
Sekarang kita lihat sekutu-sekutu Perancis dalam perjuang mereka untuk menghina dan mengibliskan agama Islam di mata dunia.
Lihat bagaimana media massa utama dunia yang pilih kasih.
Media massa memainkan peranan yang sangat besar dan penting dalam kempen Islamofobia secara global. Berita tentang seorang guru yang menghina Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang Muslim terus digembar-gemburkan, tetapi berita-berita yang melibatkan Muslim sebagai mangsa terorisma pula diabaikan dan ditutup kedua-dua belah mata:
Seorang sukarelawan masjid, 58 tahun, yang baru sahaja menunaikan solat maghrib telah dibunuh dengan kelaran pisau di lehernya oleh seorang geng supremasi kulit putih, berumur 38 tahun di Toronto[2]. Tidak dilaporkan tragedi terorisma ini.
Ini pula tragedi yang berlaku 2 hari selepas kejadian pembunuhan guru, iaitu pada 18 Oktober. Kejadian ini melibatkan 2 orang perempuan Muslim ditikam dengan pisau sambil dihina dengan kata-kata ‘Arab kotor!’. Mereka ditikam di hadapan Eifel Tower. Kejadian itu disaksikan oleh anak-anak kecil mangsa. Kedua-kedua mangsa itu cedera parah[3]. Terorisma ini tidak menjadi perbincangan hangat. Polis hanya mengambil tindakan kepada si pelaku sebaik sahaja isu ini viral di social media. Lihatlah sendiri betapa teruknya diskriminasi terhadap Muslim di Perancis.
Inilah contoh antara sekutu yang bersatu padu dalam menjaya misi untuk mengibliskan agama Islam di seluruh dunia. Mengapa kita sebagai Muslim yang mempunyai satu aqidah yang sama tetapi tidak boleh bersatu padu atas nama mempertahankan dan memperjuangkan Islam di seluruh dunia?
Bukankah kita semua mencintai Allah dan Nabi Muhammad melebihi apa pun?
Buktikanlah dengan tindakan.
Discussion about this post