World Mission Society Church of God: Gerakan Tuhan Ibu

Pada tahun 1948 terdapat seorang lelaki Korea bernama Ahn Sahng-hong telah menubuhkan sebuah denominasi gerejanya tersendiri iaitu Witnesses of Jesus Church of God. Hasil dari ajaran Ahn Sahng-hong wujudnya beberapa pengikut beliau yang mendakwa dirinya adalah Tuhan Ibu sehingga menimbulkan konflik yang besar di dalam denominasi mereka dan akhirnya berpecah menjadi dua kelompok. Salah satunya adalah World Mission Society of God.

Gerakkan World Mission Society Church of God ini dikenali sebagai gerakan agama baru di Korea Selatan. Setelah pengasasnya Ahn Sahng-hong meninggal pada 1985, pertubuhan ini memperluas kegiatannya dengan menyebarkan kepercayaan mereka ke luar negara. Dan dunia kini mengenali mereka dengan World Mission Society Church of God yang berpusat di Bundang, Korea Selatan.


Sejarah

Ahn Sahng-hong lahir di daerah Jangsu, Korea pada 13 Januari 1918. Keluarga beliau memiliki latar belakang beragama Buddha. Beliau telah berpindah ke Jepun bersama ibunya pada tahun 1937. Pada tahun 1946, akhirnya beliau kembali semula ke Korea, dan di tahun awal 1947 dia mulai menghadiri aktiviti agama Kristian gereja denominasi Seventh-day Adventist di Incheon. Pada tahun 1948 beliau telah meninggalkan agama Buddha dan mula menganut agama Kristian.

Gambar: Ahn Sahng-hong yang akhirnya dikatakan menjadi jelmaan Jesus akhir zaman

Ahn dilaporkan mendapat ‘wahyu’ pada tahun 1953, dan pada tahun 1956 terdapat kata-kata yang masyhur yang sering menjadi hujah kepada pengikutnya yang terkemudian mempercayai bahawa beliau adalah Kedatangan Jesus yang kedua. Ahn berkata bahawa “dalam masa 10 tahun, akan datang Kedatangan Yesus yang kedua.”

Pada 5 April 1958, Ahn berkahwin dengan seorang wanita bernama Hwang Wonsun (1923-2008), yang akan menjadi ibu kepada tiga anaknya. Pada waktu itu, Ahn masih lagi teguh dengan mengikut gereja Seventh-day Adventist. Akan tetapi setelah Ahn mula mendalami agama Kristian, beliau memiliki pendirian tersendiri yang mana agak menyelisihi gereja yang diikutinya. Antaranya beliau yakin bahawa hari buat Tuhan adalah pada hari Sabtu dan ketika itu tidak ada gereja lain di Korea yang melakukan sembahyang pada hari sabtu dan menjadikan hari sabtu sebagai hari Tuhan sesuai tuntutan Perjanjian Lama di dalam Bible.

Walau bagaimanapun, beliau secara beransur-ansur mula percaya bahawa gereja Seventh-day Adventist banyak mengabaikan perkara-perkara penting lain, termasuk keperluan untuk merayakan Paskah dan penggunaan salib sebagai simbol Kristian serta perayaan Krismas. Menurut Ahn, amalan-amalan tersebut bukan ajaran Bible tetapi ia adalah dari pengaruh Pagan yang menyerap masuk setelah agama Kristian berkembang. Pada bulan Mac 1962, perselisihan ini menyebabkan Ahn dipulaukan oleh Gereja Seventh-day Adventist bersama dengan beberapa puluh orang pengikutnya.

Pada 28 April 1964, Ahn menubuhkan gerakkan gereja sendiri yang dinamakan Witnesses of Jesus Church of God di Busan, Korea Selatan. 

Gereja tersebut berkembang dan pada tahun 1980 gereja tersebut memiliki tiga belas cawangan di Korea Selatan. Di dalam tempoh itu, Ahn telah terlibat dengan satu kontroversi pada tahun 1978 dengan seorang muridnya bernama Um Soo-in, yang mendakwa bahawa dia adalah Pengantin Perempuan (Bride of Christ) menurut Bible dan dia adalah tuhan ibu.

Um Soo-in juga memperjuangkan ajaran Ahn bahawa wanita harus melibatkan diri dan berkhidmat kepada gereja. Ahn menulis sebuah risalah khusus berkenaan dakwaan Um Soo-in tersebut pada tahun 1980 untuk menjawab dakwaan sesat Um Soo-in dan akhirnya dia dibuang dari gereja tersebut.           

Di dalam risalah tahun 1980 itu, Ahn mendakwa antara lain bahawa tidak ada ‘Pengantin Perempuan’ (Bride of Christ) dan bahawa rujukan Bible kepada “Pengantin Perempuan” harus dibaca sebagai bermaksud semua “orang suci”.

Ahn menghidap strok dan serangan jantung pada 24 Februari 1985 dan kesan serangan itu membawa maut keesokkan harinya dan beliau meninggal di Busan. Setelah kematian Ahn, kata-kata dan tulisan beliau akhirnya mencetus fenomena tafsiran yang berbeza selepas beliau meninggal pada 25 Februari 1985.

Ketika itu terdapat seorang lagi wanita yang menjadi pengikut Ahn mendakwa dirinya adalah Tuhan Ibu (God The Mother) dan ada dakwaan yang mengatakan beliau telah berkahwin dengan Ahn. Beliau adalah Jang Gil-jah seorang wanita Korea lahir pada 29 Oktober 1943. Kebanyakkan pengikut Ahn di Witnesses of Jesus Church of God percaya dan menerima dakwaan Jang Gil-jah bahawa beliau adalah Tuhan Ibu dan gerakkan mereka dipimpin oleh seorang pastor bernama Kim Joo-cheol. Di bawah pengelolaan Jang Gil-jah dan pastornya Kim Joo-cheol, mereka mula mendakwa Ahn Sahng-hong adalah Tuhan Bapa dan Ahn Sahng-hong itu merupakan nama kepada Holy Spirit di zaman ini.

Pada masa yang sama, janda kepada Ahn iaitu Hwang Wonsun dan bersama tiga orang anaknya pula menentang dan tidak bersetuju dengan dakwaan Jang Gil-jah. Mereka berpecah dari pengikut Jang Gil-jah dan sebahagian kecil pengikut Ahn di Witnesses of Jesus Church of God memilih untuk mengikuti Hwang Wonsun dan tiga orang anak Ahn. Mereka mengambil premis Witnesses of Jesus Church of God di Busan yang sedia ditubuhkan oleh Ahn. Akhirnya Hwang Wonsun dan tiga anak Ahn menjenamakan semula gereja tersebut dengan nama New Covenant Passover Church of God (NCPCOG).

Gambar: Jang Gil-jah yang dianggap sebagia Tuhan Ibu

Sementara kelompok yang majoriti pengikut Jang Gil-jah telah menubuhkan ibu pejabat baru di Seoul, Korea Selatan. Pada 2 Jun 1985 kelompok ini menubuhkan nama baru kepada gerakkan Ahn yang asal kepada nama Witnesses of Ahn Sahng-hong Church of God. Akhir sekali namanya ditukar kepada World Mission Society Church of God (WMSCOG) pada 1997.

Perbezaan doktrin yang ketara diantara kedua aliran ini adalah berkenaan dengan ketuhanan Ahn Sahng-hong. Kelompok World Mission Society Church of God (WMSCOG) mendakwa Ahn adalah Tuhan, jelmaan Jesus kedua dan nama Ahn Sahng-hong itu adalah nama Holy Spirit pada zaman ini.

Manakala menurut aliran New Covenant Passover Church of God (NCPCOG) pula, mereka menganggap Ahn hanya sebagai seorang pastor dan guru sahaja dan tidak menganggap Ahn itu tuhan seperti dakwaan WMSCOG. Malah terdapat satu temuramah bersama seorang anak lelaki Ahn Sahng-hong iaitu Ah Kwang-sup jelas mengatakan bahawa “The Heavenly Mother is not part of Ahn Sahng-hong’s teachings.”

Malah merujuk kepada risalah Ahn yang mengkritik Um Soo-in jelas menyifatkan penolakan doktrin kewujudan Tuhan Ibu dan kemungkinan penjelmaannya di Bumi itu adalah jelas bahawa konsep sedemikian tidak benar.

Akhir sekali polemik ini berpanjangan diantara kedua gereja ini, akan tetapi gerakkan misionari World Mission Society Church of God sangat tekun menyebarkan ajaran mereka sehingga jumlah penganut mereka berkembang dengan pesat di seluruh dunia.

Setelah perkembangan mereka yang mendakak, Christian Council of Korea, mewakili gereja-gereja Protestan Korea Selatan telah melebal WMSCOG sebagai gerakkan heretik atau ajaran sesat.

Gambar: Terdapat ramai sekali pengikutnya di seluruh dunia.

Kepercayaan

World Mission Society Church of God (WMSCOG) tidak mempunyai kitab suci selain Bible. Mereka hanya memakai Bible yang digunapakai oleh Kristian Protestan pada hari ini. Mereka mendakwa bahawa semua dotrin di dalam WMSCOG adalah berasaskan kepada Bible dan ia perlu dilihat kepada kaedah tafsir yang dibawa oleh Kim Joo-cheol yang merupakan pastor tertinggi mereka.

WMSCOG mengenali Ahn sebagai “Christ Anh Sahng-hong”, sebagai kedatangan kedua Kristus, ia juga Tuhan Bapa dan dikenalpasti dengan Roh Kudus. WMSCOG berdalilkan di dalam ayat-ayat Bible yang mengisyaratkan bahawa kedatangan Kristus akhir zaman akan datang dari Timur:

“Sebab sama seperti kilat memancarkan dari sebelah timur dan melontarkan cahayanya sampai ke barat, demikian pulalah kelak kedatangan anak manusia.” (Matius 24:27)

Bagi mereka, arah timur yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Korea, tanah yang dijanjikan dan harapan mesianik (penyelamat).      

Menurut WMSCOG, Kristus Anh Sahng-hong telah memenuhi ramalan kenabian sebagai Kristus kedua yang disebut di dalam Bible. 

Tetapi mereka secara khusus menegaskan Kristus sepatutnya menjalankan misinya selama 40 tahun seperti Daud di dalam Perjanjian Lama, Daud diutuskan misi pada usia 30 tahun dan melaksanakan misi kenabiannya selama 40 tahun. Menurut mereka, Jesus dari Nazareth dibaptiskan pada umur 30 tahun dan sepatutnya perlu menjalankan misinya selama empat puluh tahun juga. Akan tetapi dia telah disalibkan dan hanya dapat melakukan misinya selama tiga tahun sahaja.

Oleh itu, kedatangan Kristus kedua akan dibaptiskan pada usia tiga puluh tahun dan akan melakukan baki misi selama 37 tahun, untuk menyelesaikan tempoh 40 tahun yang awalnya ditujukan untuk Jesus. Atas sebab ini, penting bagi WMSCOG untuk mengekalkan sejarah Ahn dibaptiskan pada tahun 1948, pada usia tiga puluh, dan mula mendirikan ajarannya hingga kematiannya pada tahun 1985, iaitu selama 37 tahun bagi memenuhi usia misi Jesus yang berbaki. Ini kerana ada pendedahan dari pihak Gereja Seventh-day Adventist yang mengatakan sebenarnya beliau dibaptis pada tahun lain dan bukan 1948.   

Selain itu, WMSCOG juga percaya kepada konsep Tuhan Bapa dan Tuhan Ibu, serta mendakwa bahawa kebenaran ini tersembunyi dalam penafsiran yang jelas di dalam Bible. Mereka berhujah, ketika Bible menceritakan tentang penciptaan:

“Tuhan berfirman: Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambaran dan rupa Kita”… (Kejadian 1:26)

“Maka Tuhan menciptakan manusia itu menurut gambar-Nya, menurut gambaran Tuhan diciptakan-Nya dia; lelaki dan perempuan diciptakan-Nya mereka.”(Kejadian 1: 27) 

Menurut WMSCOG mereka percaya bahawa Tuhan berkata “Kita” itu merujuk kepada Tuhan Bapa dan Tuhan Ibu bersama, sebagaimana yang disahkan bahawa manusia, dibuat “dalam gambar” Tuhan, adalah lelaki dan perempuan.

Selain itu juga, WMSCOG juga percaya bahawa, selepas kematian, jiwa manusia akan tidur di dalam kubur dan akan dibangkitkan pada hari penghakiman (akhirat).

Amalan

Di WMSCOG, mereka menekankan pengamalan ritual yang betul adalah penting untuk mendapatkan keselamatan. Mereka juga mengkritik amalan kebiasaan dalam gereja-gereja Kristian tradisional yang sebenarnya akibat dari pencemaran pengaruh agama pagan.

Antara isu mereka timbulkan yang berpengaruh dari pagan adalah penggunaan salib sebagai simbol Kristian, menempatkan patung-patung di gereja sebagai objek penghormatan, dan merayakan Krismas. Selain itu mereka juga berhati-hati dan mengelak sebarang pesta buatan manusia terutama datang dari Amerika yang diatas namakan Kristian.

Salah satu kepercayaan teras WMSCOG menghidupkan perayaan Paskah yang diamalkan oleh orang Yahudi. Perayaan Paskah adalah perayaan sempena nabi Musa dan pengikutnya selamat dari dikejar oleh Firaun di Laut Merah. Sempena kejadian itu mereka merayakan Paskah dan perayaan itu bersifat tuntutan di dalam Bible yang mana tidak banyak gereja Kristian merayakan perayaan tersebut. 

WMSCOG juga bersifat sabbatarian iaitu menganggap hari sabtu adalah hari buat Tuhan. WMSCOG menganggap gereja-gereja Kristian telah menyeleweng apabila memindahkan hari Tuhan dari hari Sabtu kepada hari Ahad.

Selain itu, Ahn juga menganggap sebagai sangat penting bagi wanita melindungi kepala mereka dengan diliputi tudung semasa berada di dalam gereja. Berdasarkan perintah Perjanjian Baru:

“Tetapi setiap perempuan yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya.” (1 Korintus 11: 5)

Menurut Ahn dan WMSCOG, ayat ini ini adalah arahan langsung dari Tuhan. Arahan ini adalah penting dan perlu diberi perhatian.

Pertubuhan & NGO

Di bawah WMSCOG ini, Jang Gil-jah menubuhkan persatuan We Love U Foundation dan New Life Welfare Foundation. Kebanyakkan ahli WMSCOG akan bergerak di bawah petubuhan ini di negara masing-masing.

WMSCOG kini memilik ahli seramai 1.7 juta di seluruh negara. Mereka optimis dalam menghantar misionari kepada hampir seluruh negara. Mereka sudah bertapak (memiliki gereja) di 175 negara, dengan lebih daripada 2,200 buah gereja. Di sesetengah negara, pertumbuhan ahli agama ini telah sangat mendadak termasuk Nepal.

WMSCOG Di Malaysia

Tidak dapat dikenal pasti bilakah bermulanya gerakkan WMSCOG tiba di Malaysia. Akan tetapi mereka sudah memiliki banyak cawangan gereja di Malaysia. Maklumat yang dapat di laman sesawang mereka menyenaraikan tujuh gereja mereka di Malaysia iaitu berada di Ipoh, Petaling Jaya, Johor Bahru, Gelugor Penang, Miri, Kota Kinabalu, dan Kuching. Manakala menurut maklumat penulis menghubungi pihak WMSCOG di Petaling Jaya mereka mengatakan memiliki 15 buah gereja di seluruh Malaysia.

Gambar: Gereja mereka di Malaysia

Antara individu yang bertanggunjawab menghidupkan aktiviti keagamaan dan di WMSCOG Malaysia adalah seorang warga Korea Selatan bernama Pastor Lee Jae Suk yang berpusat di Petaling Jaya.

Gerakkan misionari mereka sangat aktif, antara tempat kebiasaan menjadi sasaran dakyah mereka kepada masyarakat bukan Melayu di Malaysia adalah di Mall dan Pusat membeli belah yang menjadi tumpuan orang ramai. Mereka akan mendekati lalu akan memulakan pertanyaan “Kamu percaya atau tidak bahawa terdapat Tuhan Bapa dan Tuhan Ibu?”

Malah mereka juga mensasarkan anak muda terutama di Universiti tempatan seperti Universiti Tun Abdul Rahman (UTAR) dan tidak terlepas juga di UniSZA Terengganu. 

Gambar: pernah menjadi isu penyebaran agama tersebut di UniSZA pada tahun 2017.

Di Malaysia, mereka juga aktif dalam melakukan aktiviti amal terutama membersih sampah sarap. Selain bergerak di atas nama World Mission Society Church of God, mereka juga bergerak di atas platfom We Love U Foundation di Malaysia.

Gambar: Aktiviti WMSCG pada 29 April 2012, yang dilakukan di Melaka
Gambar: Peserta memakai baju T-Shirt We Love U Foundation dan aktivti diadakan pada 10 Jun 2018 di Petaling Jaya.

R&D Team Multiracial Reverted Muslims (MRM)

This post is available in: enEnglish zh-hans简体中文 msMelayu

Posts Carousel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *

Cancel reply

Latest Posts

Top Authors

Most Commented

Featured Videos

This post is available in: enEnglish zh-hans简体中文 msMelayu